KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi melancarkan pra-pelancaran kempen perlindungan pengguna kebangsaan pertama di Malaysia iaitu Beli Tiket Selamat (BTS).
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, portal penuh serta pusat bantuan dalam talian inisiatif BTS dijangka dilancarkan dalam beberapa minggu lagi menerusi platform belitiketselamat.my untuk melindungi rakyat daripada ancaman penipuan tiket acara.
Menurutnya, kempen selama 24 bulan itu juga merupakan inisiatif kerjasama antara kerajaan dan industri yang diwujudkan khusus untuk melindungi rakyat sebelum, semasa dan selepas insiden penipuan tiket berlaku.
“Inisiatif ini amat bertepatan pada masanya, lebih-lebih lagi ketika negara kini memasuki Musim Acara Utama Kuala Lumpur (KL Headline Season) dan sempena sambutan menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
“Kita tidak boleh membiarkan penipuan tiket menjejaskan keyakinan dan keterujaan rakyat serta pelancong terhadap acara langsung di negara ini,” katanya ketika berucap melancarkan KL Headline Season 2026 di sini hari ini.
Menurut Fahmi, elemen paling menarik dalam kempen ini adalah penyediaan meja bantuan di lokasi-lokasi acara yang mengambil bahagian.
“Meja bantuan ini membolehkan mangsa penipuan tiket menerima nombor rujukan, laporan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang telah siap diisi, serta panduan langkah seterusnya dalam tempoh hanya 15 minit.
“Setiap laporan yang dikemukakan akan menyumbang kepada ekosistem risikan nasional untuk memberikan amaran berkala kepada agensi penguatkuasaan dan orang awam,” katanya. – UTUSAN










