PORT DICKSON: Pelancongan kesihatan akan menjadi tumpuan kerajaan Negeri Sembilan dalam usaha menarik kehadiran lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 dan Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS) 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, sehubungan itu, kerajaan negeri turut menyasarkan kehadiran pelancong dari negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Singapura.
“Kita dapat lihat wujudnya trend selepas pandemik Covid-19, apabila pelancong bukan sahaja datang untuk bercuti malah mendapatkan rawatan kesihatan. Kami memang menyasarkan pelancong kesihatan dari Indonesia kerana potensinya sangat besar.
“Indonesia dikenal pasti sebagai antara pasaran penting pelancongan kesihatan berikutan jumlah penduduknya yang besar serta permintaan tinggi terhadap rawatan berkualiti di luar negara,” katanya pada sidang akhbar sempena program sambutan pelancong sempena TMM 2026 dan TMNS 2026 di Jeti Penumpang Port Dickson hari ini.
Nicole Tan berkata, ketika ini Negeri Sembilan mempunyai kira-kira enam buah pusat perubatan yang bersedia untuk menyediakan produk pelancongan kesihatan.
Tambahnya, beberapa hospital swasta utama di negeri ini juga sedang melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan dan pembesaran fasiliti bagi meningkatkan kapasiti serta bersiap-sedia menerima pesakit antarabangsa.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut merancang untuk mempergiat misi jualan dan pertemuan perniagaan ke negara sasaran bagi mempromosikan Negeri Sembilan sebagai destinasi rawatan kesihatan yang diyakini dan kompetitif.
Tambahnya, sasaran pelancong yang dikenal pasti adalah dalam kalangan golongan berpendapatan tinggi yang mencari rawatan berkualiti, persekitaran kondusif dan kemudahan sokongan pelancongan yang lengkap. – UTUSAN










