Sasaran satu juta pelancong kapal persiaran tiba di Pulau Pinang

Sasaran satu juta pelancong kapal persiaran tiba di Pulau Pinang

YEOH Soon Hin (tengah) ketika menyertai sambutan pelancong kapal persiaran di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) di George Town, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Tourism Malaysia menyasarkan hampir sejuta pelancong kapal persiaran tiba melalui Pulau Pinang sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, sasaran itu berdasarkan peningkatan semula industri kapal persiaran antarabangsa serta usaha berterusan kerajaan memperkukuh Pelabuhan Pulau Pinang sebagai hab utama kapal pesiaran

“Bagi tahun 2026 ini, kita menyasarkan ketibaan pelancong kapal persiaran hampir satu juta orang, berbanding kira-kira 700,000 orang penumpang pada 2025. Ini menunjukkan trend pemulihan yang sangat positif pada tahun ini,” katanya selepas menyertai sambutan pelancong kapal persiaran di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) sempena TMM2026 hari ini.

Selain di SPCT, satu lagi sambutan khas turut diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Stesen KTMB Butterworth bagi mengalu-alukan ketibaan pelancong bersempena pelancaran rasmi kempen berkenaan bagi peringkat negeri Pulau Pinang.

Menurut Soon Hin, Pulau Pinang kekal sebagai antara destinasi utama kapal persiaran di Malaysia dengan rekod sekitar 1.5 juta penumpang kapal persiaran pada 2024 sekali gus membuktikan potensi besar negeri itu dalam sektor pelancongan maritim.

Beliau berkata, bagi tahun 2026, Malaysia turut menjangkakan sekitar 170 ketibaan kapal persiaran antarabangsa ke Pulau Pinang meningkat berbanding sekitar 120 kapal pada 2025.

Dalam usaha merancakkan lagi ketibaan pelancong, beliau berkata, Tourism Malaysia juga akan memperluaskan skim Geran Sepadan Penerbangan Charter (GSPC) yang sebelum ini tertumpu kepada penerbangan udara untuk turut merangkumi sektor kapal persiaran.

“Buat pertama kali, geran ini akan diperluas kepada sektor kapal persiaran sebagai insentif kepada pengusaha kapal persiaran, operator dan ejen pelancongan untuk membawa pelancong masuk melalui laluan laut,” katanya yang memberitahu sebanyak RM50 juta diperuntukkan melalui geran itu dengan melibatkan kedua-dua sektor iaitu penerbangan dan kapal persiaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN