MELAKA: Kerajaan negeri akan melaksanakan Smart Tourism Melaka AI dan Pasport Pelancongan Visit Melaka 2.0 sejajar dengan aspirasi sebagai negeri berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri mahu pelancong datang bukan hanya menikmati keindahan Melaka tetapi juga rasa kagum dengan kredibiliti dan kecanggihan teknologi pelancongan di Melaka.
Menurutnya, inisiatif tersebut adalah satu cetusan gelombang baharu sempena peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM2.0) dan menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
“Hakikatnya, Tahun Melawat Melaka 2.0 bukan sekadar kempen, tetapi pemangkin ekonomi rakyat yang membuka peluang, menghidupkan perniagaan dan memastikan hasil pembangunan sampai ke akar umbi.
“Untuk itu, kerajaan negeri menyasarkan 19 juta kehadiran pelancong pada tahun 2026 dengan lebih 220 acara yang disusun rapi sepanjang tahun itu,” katanya berucap sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, Peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM 2.0) dan Majlis Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas di Encore Melaka, Kota Laksamana di sini malam tadi.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Ali Mohd. Rustam dan dihadiri kira-kira 40,000 pengunjung.
Ab. Rauf berkata, sebagai negeri warisan yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), kerajaan negeri komited memastikan warisan itu terus dipertahankan.
Katanya, Melaka komited untuk mengangkatnya sebagai teras jati diri, simbol perpaduan dan wajah Melaka di mata dunia khususnya dalam tempoh Melaka menyandang pengiktirafan sebagai ASEAN City of Culture bagi tahun 2024 hingga 2026.
Sehubungan itu, beliau turut mengumumkan penubuhan Orkestra Badan Seni Warisan Melaka yang akan bernaung di bawah Badan Seni Warisan Melaka diketuai pemuzik muda, Mohd Haziq Ramlan. – UTUSAN










