PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) bekerjasama dengan kemudahan perubatan dikendalikan sektor swasta dan institusi pendidikan kejururawatan dalam usaha menangani keperluan penjagaan warga emas termasuk kekurangan pakar geriatrik di negara ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, kerjasama itu penting memandangkan Malaysia sedang menuju status negara menua dengan keperluan terhadap perkhidmatan geriatrik dijangka terus meningkat.
Menurutnya, kementerian juga sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana organisasi yang dapat membantu memperkasakan perkhidmatan dan kepakaran sedia ada dalam bidang berkenaan.
“Daripada pakar-pakar yang ada dari segi kepentingan geriatrik untuk warga emas, mereka (ada) di lokasi di hospital negeri dan mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk pergi ke kawasan-kawasan hospital lain untuk memberikan maklumat kepada doktor-doktor lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kekurangan pakar geriatrik dalam menampung keperluan warga emas di negara ini selepas merasmikan Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2026 dan Seminar Kejururawatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, negara kini berdepan cabaran besar dalam menyediakan penjagaan kesihatan kepada golongan warga emas apabila hanya mempunyai 67 pakar geriatrik bagi menampung keperluan kira-kira 4.1 juta penduduk berusia 60 tahun dan ke atas.
Situasi itu menyaksikan nisbah seorang pakar perlu menampung sekitar 60,000 warga emas sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap ke mampuan sistem kesihatan negara dalam menghadapi peningkatan populasi menua.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa kepakaran sedia ada dalam bidang berkenaan akan terus diperkasa bagi membantu meningkatkan mutu penjagaan warga emas terutama di fasiliti kesihatan awam. – UTUSAN










