Pemandu van mengaku tidak bersalah sebabkan kematian Nur Aini Umairah

Pemandu van mengaku tidak bersalah sebabkan kematian Nur Aini Umairah

NORDIN Ithnin, 61, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian sel kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun, Selasa lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Pemandu van warga emas yang didakwa menyebabkan kematian seorang murid perempuan darjah dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Selasa lalu tidak mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Tertuduh, Nordin Ithnin, 61, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Arun Noval Dass.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan motor van dengan melulu dan menyebabkan kematian Nur Aini Umairah Mohd. Fareez, 8, dihadapan SK Seri Maimon di Parit Sulong, Batu pahat pada pukul 12.30 tengahari.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan memohon mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM10,000 beserta beberapa syarat tambahan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tan Song Yan yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan minuman diberi kerana tertuduh hanya menerima gaji RM1,800 sebulan.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, lesen memandu ditahan selain perlu melapor di balai polis terdekat sebulan sekali sehingga kes selesai.

Majistret turut menetapkan tarikh 25 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani dilaporkan berkata, mangsa maut di lokasi kejadian selepas cedera parah di bahagian kepala serta organ dalaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×