Risiko jangkitan Hantavirus kepada orang awam masih rendah

Risiko jangkitan Hantavirus kepada orang awam masih rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada kes hantavirus dilaporkan di Malaysia setakat ini, selain menegaskan risiko jangkitan kepada orang awam di negara ini ketika ini adalah rendah.

KKM memaklumkan, hantavirus merupakan sejenis virus zoonotik yang lazimnya merebak melalui pendedahan kepada air kencing, najis atau air liur tikus yang dijangkiti khususnya menerusi partikel tercemar di udara.

Katanya, kebanyakan jangkitan berlaku secara sporadik dan mempunyai kaitan dengan persekitaran yang mengalami infestasi tikus.

“Penularan daripada manusia kepada manusia adalah amat jarang berlaku dan hanya dikaitkan dengan strain tertentu seperti Andes virus di Amerika Selatan.

“KKM ingin menegaskan bahawa sehingga kini, tiada kes hantavirus dilaporkan di Malaysia. Risiko kepada orang awam di Malaysia pada masa ini adalah rendah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

KKM berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa berkaitan hantavirus dan sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Orang ramai disaran mengamalkan langkah pencegahan seperti yang dikongsikan oleh kementerian bagi mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, negara Eropah meningkatkan langkah pemantauan serta pengasingan selepas berlaku wabak Hantavirus yang dikaitkan dengan kapal persiaran berbendera Belanda, MV Hondius. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN