GEORGE TOWN : Tidak wujud unsur ‘double standard’ terhadap penguatkuasaan undang-undang dalam dua kes kemalangan maut yang melibatkan dua warga emas, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay ketika menegaskan perkara itu berkata, sebaliknya, semua keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kepada pertimbangan serta keperluan tertentu semata-mata.
“Macam isu pemandu kereta yang berusia 70-an itu. Dia ada macam-macam penyakit. Jadi, kalau kita reman dia, masuk dalam lokap, bagaimana dia nak dapatkan rawatan dialisis dan sebagainya? Sebab itu kita bagi (dia) jaminan.
“Kalau kita masukkan dalam lokap juga, nanti jadi isu lain pula. Kenapa polis tak pertimbangkan (tahap kesihatan)? Dia dah tua dan sakit.
“Satu lagi kes iaitu melibatkan pemandu van berusia 61 tahun yang direman kerana melanggar budak. Dia (suspek) masih sihat, sebab itu kita reman. Dalam hal ini, kita guna pertimbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertikaian yang timbul di media sosial ketika ini berhubung tindakan berbeza oleh polis bagi dua kes kemalangan maut tersebut.
Pemandu berusia 70-an yang memandu Proton X70 itu sebelum ini didakwa merempuh penunggang motosikal hingga maut, namun, dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan manakala pemandu van terbabit pula didakwa memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang murid Tahun Dua.
Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, polis perlu bertindak secara profesional dan adil berdasarkan fakta serta bukti dan bukan berdasarkan kepada persepsi masyarakat di media sosial semata-mata.
“InsyaAllah kita tidak akan ‘double standard’ atau ‘bias’ (bersikap berat sebelah). Pada masa yang sama, kita juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.-UTUSAN










