Warga emas maut Toyota Avanza dipandu terbabas

Warga emas maut Toyota Avanza dipandu terbabas

Warga emas maut
ORANG ramai membantu memusingkan kembali kereta yang terbalik secara mengiring susulan kemalangan dekat tepi Jalan Bukit Kerayong, Pandamaran di Klang, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang warga emas maut selepas kereta Toyota Avanza yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar struktur batu di bucu sebuah rumah di tepi Jalan Bukit Kerayong, Pandamaran di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kemalangan tersebut menyebabkan kereta dipandu mangsa itu terbalik secara mengiring di bahu longkang.

Katanya, bagaimanapun orang ramai yang berada di tempat kejadian pula cuba mengalihkan kenderaan tersebut menyebabkan kereta itu terjatuh ke dalam longkang bersama mangsa.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada 26 April lalu kira-kira pukul 8.30 malam melibatkan sebuah kereta dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 60-an.

“Mangsa yang dalam perjalanan dari arah Jalan Bukit Kerayong menghala ke Jalan Banting Pandamaran dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu melanggar struktur batu di bucu sebuah rumah di tepi jalan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serentak dengan Sudden Death Report (SDR).

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Bagaimanapun polis menunggu hasil bedah siasat oleh Hospital Klang bagi mengetahui sama ada mangsa meninggal dunia selepas keretanya terjatuh atau sebaliknya.

“Polis juga memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan. Maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Syahid Salahudin di talian 011-35753557 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN