PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan tiada rakyat Malaysia berada di dalam kapal persiaran antarabangsa yang dikaitkan dengan laporan penularan jangkitan Hantavirus.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun situasi tersebut amat terkawal dan tidak melibatkan rakyat Malaysia, KKM akan terus memantau rapi perkembangan wabak berkenaan di peringkat global serta serantau.
Beliau berkata, ia bagi memastikan kesiapsiagaan sempadan dan sistem kesihatan negara berada pada tahap tertinggi.
“KKM mengambil maklum mengenai laporan penularan jangkitan Hantavirus yang berpunca daripada sebuah kapal persiaran antarabangsa.
“Saya ingin memberi jaminan kepada masyarakat bahawa tiada rakyat Malaysia yang berada di dalam kapal persiaran tersebut.
“Susulan komunikasi langsung KKM bersama pihak berkuasa kesihatan Singapura pada pagi ini, turut disahkan bahawa dua kru kapal warganegara mereka telah diuji negatif Hantavirus, manakala proses pengesanan kontak kini sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Dzulkefly, Hantavirus ialah sejenis virus bawaan tikus yang merebak kepada manusia melalui udara yang tercemar dengan sisa kotoran, air kencing atau air liur haiwan tersebut.
Katanya, jangkitan itu tidak wajar dipandang remeh kerana komplikasinya boleh membawa maut dengan kadar kematian bagi Sindrom Paru-paru Hantavirus (HPS) boleh mencecah 30 hingga 40 peratus.
“Memandangkan tiada ubat antivirus khusus buat masa ini, langkah pencegahan dan kawalan kendiri adalah perisai pertahanan paling ampuh.
“Rakyat tidak perlu panik, namun kita mesti kekal berwaspada. Saya menggesa orang ramai merujuk siri infografik disediakan serta memastikan kebersihan kediaman dan premis kerja sentiasa terpelihara daripada ancaman haiwan perosak,” katanya.
Sebelum ini, petugas perubatan berusaha memindahkan dua penumpang yang mengalami simptom hantavirus selepas wabak tersebut dikesan di atas sebuah kapal persiaran mewah yang ditahan di luar pesisir Afrika Barat, menurut pihak berkuasa.
Menurut laporan Reuters, sekitar 150 orang masih berada di atas kapal tersebut selepas sepasang suami isteri dari Belanda dan seorang lelaki Jerman dilaporkan meninggal dunia, manakala beberapa penumpang lain jatuh sakit. – UTUSAN










