Kanak-kanak antara 12 terbunuh dalam serangan Israel di Lubnan

Kanak-kanak antara 12 terbunuh dalam serangan Israel di Lubnan

PASUKAN penyelamat menggunakan jentolak untuk mengalihkan runtuhan daripada bangunan kediaman yang musnah diserang tentera Israel di kampung Hanaouay, selatan Lubnan. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh, termasuk dua kanak-kanak dan seorang paramedik, dalam beberapa siri serangan udara Israel pada Khamis walaupun terdapat gencatan senjata.

Kematian baharu itu berlaku sehari selepas Israel membunuh seorang komander Hizbullah dalam serangan pertamanya di pinggir selatan Beirut sejak gencatan senjata rapuh yang bertujuan menamatkan pertempuran berlarutan selama beberapa minggu.

Dalam kenyataan berasingan, kementerian itu melaporkan 11 orang terbunuh, termasuk dua kanak-kanak, dalam serangan di tiga kampung berbeza di daerah Nabatieh.

Satu lagi serangan di daerah Marjayoun membunuh seorang paramedik daripada perkhidmatan penyelamat Jawatankuasa Kesihatan Islam yang dikaitkan dengan Hizbullah dan mencederakan seorang lagi, menurut kementerian itu, yang menyifatkan serangan tersebut sebagai satu jenayah.

Sebelum ini, satu serangan di daerah Nabatieh turut mencederakan dua lagi paramedik daripada organisasi sama, menurut seorang jurucakap.

Media kerajaan Lubnan melaporkan serangan Israel di beberapa bandar dan kampung di selatan pada Khamis, manakala tentera Israel mengeluarkan amaran pemindahan baharu untuk tiga kampung di utara Sungai Litani, di luar kawasan yang masih diduduki tenteranya selepas pencerobohan darat.

Tentera Israel berkata pada Khamis, serangan sehari sebelumnya di pinggir selatan ibu negara telah membunuh Komander Unit Radwan, iaitu unit elit dalam kumpulan Hizbullah yang disokong Iran.

Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu kemudian berkata, ‘tiada pengganas yang kebal’ daripada serangan Israel, dan memberi amaran perkara sama terhadap sesiapa sahaja yang mengancam Israel.

Gencatan senjata antara Hizbullah dan Israel bermula pada 17 April, namun pertempuran masih berterusan di selatan Lubnan.

Namun, serangan pada Rabu berhampiran Beirut mengejutkan penduduk Lebanon.

Gambar AFP yang diambil di pinggir selatan Beirut menunjukkan tingkat atas sebuah bangunan kediaman musnah sepenuhnya, manakala pasukan penyelamat dilihat sedang mencari mangsa di celah runtuhan pada pagi Khamis.

Serangan udara Israel lain di bandar selatan Nabatieh menyasarkan sebuah pusat beli-belah dan beberapa bangunan kediaman, menurut media kerajaan serta seorang wartawan AFP.

Tentera Israel dalam satu kenyataan pada Khamis berkata dron letupan mengenai sasaran mencederakan empat askar, seorang daripadanya parah, di selatan Lubnan pada hari sebelumnya.

Walaupun terdapat gencatan senjata, Hizbullah kerap mendakwa melakukan serangan terhadap tentera Israel di selatan Lubnan.

Sejak perang bermula pada 2 Mac, serangan Israel di Lubnan mengorbankan lebih 2,700 orang.

Sementara itu, tentera Israel menyatakan mereka kehilangan 17 askar dan seorang kontraktor di selatan Lubnan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×