JOHOR BAHRU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor menyita 44 kenderaan mewah atas pelbagai kesalahan dalam Ops Luxury yang dijalankan di beberapa lokasi strategik di negeri ini, sejak awal tahun hingga Ahad lalu.
Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, pihaknya turut mengeluarkan Notis JPJ P(22) terhadap pemilik dan pemandu yang gagal mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.
“Antara kesalahan utama yang dikesan termasuklah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada lesen memandu serta kesalahan teknikal yang lain.
“Pemeriksaan teknikal turut dijalankan bagi memastikan setiap kenderaan berada dalam keadaan selamat selain tidak mendatangkan risiko bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Zulkarnain, tindakan tersebut dibuat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kaedah-kaedah berkaitan selepas pemilik dikesan melakukan pelbagai kesalahan teknikal dan dokumentasi.
“Pelaksanaan Ops Luxury ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa tiada pengecualian terhadap pematuhan undang-undang jalan raya walaupun melibatkan kenderaan berstatus mewah.
“Kita akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berkala dalam usaha memperkukuhkan pematuhan undang-undang dan memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara,” katanya.










