Mangsa dilanggar pemandu mabuk lima hari lalu masih koma

Mangsa dilanggar pemandu mabuk lima hari lalu masih koma

Mangsa dilanggar pemandu mabuk masih koma
HAMIDAH Othman (tengah) dan Nurul Syafiqah Ridzuan (kiri) ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Klang selepas menghadiri prosiding pertuduhan terhadap Low Kean Peng di Mahkamah Majistret, di Klang, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Penunggang motosikal yang dirempuh pemandu mabuk memandu melawan arus sejak lima hari lalu dekat Persiaran Kota, di sini didakwa masih koma dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Menurut ibunya Hamidah Othman, 54, anak sulung daripada empat beradik itu, Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27, sepatutnya melangsungkan pernikahan pada Disember ini di Pasir Gudang, Johor selepas bertunang dengan pilihan hatinya pada tahun lalu.

“Anak sulung saya itu tulang belakang keluarga saya, dan dia masih koma. Dia mengalami pendarahan di otak selain cedera teruk termasuk patah tangan, kaki kanan, tulang belikat dan tiga jari. Sehingga kini dia belum sedarkan diri.

“Dia bekerja sebagai penasihat servis dekat sebuah syarikat automotif. Dia juga bekerja sambilan sebagai penghantar makanan. Ketika kejadian Zulfiqar sedang menghantar makanan kepada seorang pelanggan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Low Kean Peng, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol dan melanggar seorang penunggang motosikal sehingga parah pada minggu lalu.

Dia membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret A. Karthiyayini.

Sementara itu, tunang mangsa, Nurul Syafiqah Ridzuan, 25, memberitahu, persiapan bagi majlis pernikahan mereka telah dilakukan sejak mengikat tali pertunangan tahun lalu.

“Sewaktu kejadian, saya terdetik mahu menghubunginya namun terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada keluarga tunang memaklumkan kemalangan itu.

“Keadaan Zulfiqar masih lagi parah di hospital dan kami turut mengharapkan doa orang ramai bagi kesembuhannya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN