Hampir setengah tan metrik bunga ganja dirampas di KLIA sejak April

Hampir setengah tan metrik bunga ganja dirampas di KLIA sejak April

Bunga ganja KLIA
SHAZELI Kahar menunjukkan salah satu daripada 254 ketulan mampat bunga ganja dirampas di Terminal 1 KLIA, pada sidang akhbar di IPK Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bunga ganja dilihat semakin mendapat tempat di Eropah apabila rampasan dadah tradisional itu dilaporkan dikesan sejak bulan lalu melibatkan keseluruhan lebih 697 kilogram (kg) bernilai RM54.95 juta dirampas di negeri ini yang sebahagian besarnya berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Rampasan pertama yang dilaporkan pada akhir bulan lalu merekodkan sebanyak 367.4kg bunga ganja dirampas, 30 kg daripadanya bernilai RM2.4 juta dikesan di KLIA, diikuti dengan laporan rampasan kedua pada 8 Mei lalu yang mencatatkan 156.7kg dadah bernilai RM12.6 juta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pada 6, 9 dan 11 Mei lalu menerusi bantuan Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sebanyak 172.8kg lagi dadah jenis itu yang bernilai RM13.85 juta dirampas di Terminal 1 KLIA.

Katanya, menerusi pengesanan sembilan bagasi yang melalui mesin pengimbas itu di terminal berkenaan, seramai tujuh suspek warga asing termasuk tiga wanita ditahan dipercayai berperanan dalam rangkaian pengedaran dadah.

“Ketujuh-tujuh suspek dipercayai dari Eropah dan Asia Tenggara masuk ke negara ini sejak akhir bulan lalu menggunakan pas lawatan sosial, namun cuba keluar dengan membawa 254 bungkusan ketulan mampat disyaki bunga ganja.

“Kesemua suspek direman selama 14 hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Dua suspek warga asing lelaki dan wanita masing-masing berusia 30 dan 31 tahun didapati positif dadah selepas ujian saringan air kencing dibuat,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Tambahnya, kesemua suspek berusia 17 hingga 31 tahun itu dipercayai menerima bayaran dalam matawang Euro antara EU3,000 hingga EU5,000 (kira-kira RM13,000 hingga RM23,000).

“Ketiga-tiga kes tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain. Mereka dipercayai bertindak sebagai transporter yang mengambil bekalan dadah di negara ini untuk dibawa ke Eropah. Bekalan dadah dipercayai didapati di negara ini dan ada juga yang dibawa masuk dari luar (dipercayai negara jiran).

“Bagaimanapun polis masih menyiasat lokasi yang dijadikan pusat penyimpanan bekalan atau gudang dan transit kesemua ketulan mampat dadah yang dirampas,” jelasnya.

Pada 28 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan Polis Bantuan MAHB mengesan 698 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat bunga ganja yang dibawa oleh dua wanita tempatan dan warga asing.

Kemudian pada 8 Mei lalu, polis merampas 172kg atau 232 ketulan mampat bunga ganja dan menahan tujuh termasuk dua pasangan kekasih di KLIA dan sebuah rumah di Kota Warisan, Sepang.

Dalam perkembangan berasingan, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun disyaki cuba mengedar 79 bungkusan plastik mengandungi syabu seberat 79kg bernilai RM3.95 juta di Ampang Jaya, Ampang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN