SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor melalui Perikatan Nasional (PN) negeri ini menyasarkan kemenangan tambahan 10 kerusi lagi pada pilihan raya akan datang sekali gus membentuk kerajaan negeri.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr. Afif Bahardin berkata, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang lepas, partinya hanya kekurangan tujuh lagi kerusi bagi membolehkan kerajaan negeri diterajui Pakatan Harapan (PH) diturunkan.
Katanya, PN tidak memerlukan Rumah Bangsa, sebaliknya kesepakatan politik yang boleh memastikan Kerajaan PH-BN (Barisan Nasional) dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ditumbangkan dari Putrajaya.
“Isu longkang, isu banjir. Sampai sekarang, saya hendak beritahu orang Selangor, baru-baru ini saya terpaksa turun jumpa dengan exco yang buat lawatan ke jalan 223, tempat nasi lemak sedap. Banjir teruk, kilang banyak.
“Dia kata kena buat pam, saya kata tak payah, banjir sekarang, buat kolam tadahan dahulu, exco setuju kena buat kolam tadahan. Exco terima cadangan saya, minggu depan (kemudian) exco buat mesyuarat di MBPJ, adakah saya dijemput. ‘Kita jemput ADUN dalam kerajaan dan penyelaras’.
“Itu saya berani janji, kalau kami jadi kerajaan, baik kerajaan atau wakil pembangkang, kita akan panggil dalam mesyuarat bincangkan isu rakyat kerana orang Selangor berhak didengari oleh kerajaan,” katanya ketika berucap pada program Rapat Rakyat Selangor di sini, malam tadi.
Pada PRN lalu, PN memenangi 22 kerusi membolehkan beberapa pimpinan parti menganggotai DUN Selangor seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Hulu Klang – Ketua Pembangkang), Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri (Paya Jaras), Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang), Hilman Idham (Gombak Setia), Datuk Harrison Hassan (Jeram), Datuk Noorazley Yahya (Bukit Malawati) dan Nurul Syazwani Noh (Permatang).
Menurutnya, penyertaan PN dalam DUN Selangor menampilkan gabungan yang lama dan baharu selain menampilkan ketokohan kepemimpinan dan profesional.
“PKR tinggal siapa? Saya hendak tanya orang Selangor, sayang sangat PKR. Saya hendak beritahu, tinggal dua sahaja negeri mereka. Negeri Sembilan, menteri besarnya itu pun sudah tak dipercayainya. Kedua Menteri Besar Selangor, tinggal itu sahaja PKR.
“Parti Perdana Menteri tinggal itu dua sahaja. Pulau Pinang, habis. Kedah, Terengganu, Kelantan, Perlis habis. Perak tinggal berapa ‘kerat’. TInggal Selangor sahaja PKR. Kita pun sudah beri mereka peluang jadi kerajaan sudah lama, sebahagian besar (hadirin) pun pernah ada dalam parti (PKR),” jelasnya.
Dalam pada itu beliau turut menyelar pimpinan UMNO yang berada di dalam DUN Selangor apabila mengambil sikap berdiam diri ketika terdapat ADUN yang mempertikai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung larangan pembinaan ladang babi.
“Tadi sahabat-sahabat kita berhimpun di hadapan SUK (Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri), itupun masalah juga. Saya tengok ada dua orang ADUN UMNO. Petang tadi UMNO berhimpun di SUK, tetapi di dalam DUN mereka tak bangun pun pertahankan kami (persoal tindakan pertikai titah sultan).
”Saya hendak tanya ADUN dan pimpinan UMNO, berhimpun di depan SUK, tetapi dalam dewan tak berani. Kalau betul anak jantan, UMNO Selangor umum sahaja keluar daripada kerajaan negeri,” ujarnya. – UTUSAN










