Tiga memorandum diserah nyata taat setia kepada Sultan Selangor

Tiga memorandum diserah nyata taat setia kepada Sultan Selangor

Memorandum taat setia
AB. Halim Tamuri bersama Mohd. Imran Tamrin dan Mohd. Zai Mustafa menyerahkan memorandum kepada Ahmad Rohisham Ahmad dekat pintu masuk Istana Bukit Kayangan, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiga pertubuhan terdiri daripada Dewan Pemuda Pas Selangor, Badan Perhubungan Pemuda Pas Selangor dan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menyerahkan memorandum menjunjung titah dan taat setia kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di pintu masuk Istana Bukit Kayangan, di sini, hari ini.

Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, memorandum tersebut antaranya menyatakan taat setia rakyat dan menghargai kebijaksanaan baginda dalam mempertahankan kesucian agama Islam serta keharmonian negeri.

“Dalam memorandum itu kita menyebutkan betapa rakyat terus kasih, hormat taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada tuanku selain menghargai ketegasan, keprihatinan dan menjunjung kedaulatan undang-undang serta memastikan kestabilan dan kemakmuran negeri.

“Kita (rakyat) meletakkan kepercayaan penuh kepada tuanku dalam setiap tindakan baginda yang dipandu dengan kebijaksanaannya. Itu antaranya yang kita persembahkan kepada baginda yang disusuli dengan perhimpunan bagi menyatakan taat setia kepada tuanku,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, ketiga-tiga memorandum itu diserahkan oleh Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri; Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd. Imran Tamrin serta Pengerusi Ummah, Mohd. Zai Mustafa kepada Juruiring Polis Kepada Sultan Selangor, Superintendan Datuk Ahmad Rohisham Ahmad yang turut disaksikan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Dalam masa sama, beliau menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San supaya membawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan dikenakan tindakan.

“Beliau mesti memohon maaf terutama kepada tuanku dan seterusnya kepada rakyat. Beliau sebagai wakil rakyat sepatutnya bertindak bijak memilih keharmonian. Tetapi, masih memilih untuk bertentangan dengan titah baginda,” tegasnya.

Sementara itu, Mohd. Zai mendakwa di Selangor seolah-olah wujud dua keadaan yang mengelirukan berhubung isu larangan pembinaan ladang babi seperti mana titah Sultan Sharafuddin pada Istiadat Pembukaan DUN Selangor pada April lalu.

“Satu titah tuanku supaya isu babi ditamatkan, kerajaan negeri mengambil sikap berdiam diri. Mana satu hendak ikut? Saya hendak beritahu rakyat, ikut titah perintah tuanku. Kerajaan yang ada sekarang ini bukan hendak menyokong titah, malah menyusahkan lagi tuanku,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN