SHAH ALAM: Permainan isu-isu yang melampaui batas perkauman memberi ancaman kepada hala tuju negara selain melemahkan kekuatan yang berpunca daripada perpecahan dalaman.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy berkata, banyak negara menjadi lemah akibat perpecahan dalaman yang terlalu parah sehingga kepercayaan antara rakyat runtuh sepenuhnya.
“Yugoslavia runtuh dan tenggelam dalam konflik etnik yang ganas selepas bertahun-tahun politik perkauman dan nasionalisme sempit dimainkan. Politik berasaskan mazhab dan kelompok di Lebanon pula melumpuhkan pentadbiran negara serta melemahkan kestabilan nasional selama beberapa dekad.
“Sri Lanka mengalami trauma nasional yang panjang apabila ketegangan dan ketidakpercayaan antara kaum akhirnya bertukar menjadi konflik yang merosakkan negara. Malah negara maju hari ini juga sedang menghadapi ketidakstabilan yang semakin meningkat akibat masyarakat yang terlalu berpecah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, realiti cabaran dihadapi Malaysia adalah berdepan ancaman atau tekanan besar untuk kekal kompetitif, stabil dan bersatu di sebalik persaingan antara Amerika Syarikat dan China yang mengubah landskap perdagangan serta global.
“Namun, daripada mempersiapkan rakyat Malaysia untuk menghadapi cabaran ini bersama sebagai satu bangsa, kita masih terus mendengar naratif politik yang dibina atas rasa tidak selamat kaum dan ketakutan antara masyarakat.
“Hampir semua pihak hari ini sedang bermain dengan sentimen komuniti masing-masing demi menunjukkan bahawa merekalah ‘pelindung’ kaum sendiri. Ia sudah menjadi realiti politik Malaysia pada hari. Pemimpin pembangkang terus bergantung kepada naratif berasaskan ketakutan kerana mereka sudah ketandusan idea yang benar-benar bermakna untuk rakyat,” jelasnya.
Dalam masa sama, Ahli Majlis Pimpinan Pusat itu turut menegaskan, pertarungan sebenar ialah sama ada Malaysia mampu bertahan dan berjaya dalam dunia yang semakin mencabar dan kompetitif.
“Kita memerlukan politik yang menenangkan ketakutan, bukan memperbesarkannya. Kita memerlukan politik yang membina keyakinan, bukan menanam rasa tidak selamat secara berterusan.
“Kita memerlukan politik yang mempersiapkan rakyat untuk masa depan, bukan politik yang terus terperangkap dalam ketakutan dan keresahan masa lalu. Kerana hakikatnya, politik ketakutan mungkin mampu memenangkan pilihan raya, tetapi akhirnya ia boleh menghancurkan masa depan negara,” ujarnya. – UTUSAN










