Bekalan makanan, beras stabil hingga hujung tahun

Bekalan makanan, beras stabil hingga hujung tahun

Bekalan beras
MOHAMAD Sabu ditemui pemberita pada sidang akhbar selepas melancarkan Projek Pembangunan Nanas Secara Komuniti Parlimen Kota Raja, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberi jaminan bekalan makanan khususnya beras tempatan akan tetap berada di pasaran sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sehingga kini bekalan makanan terutamanya beras masih stabil walaupun pergolakan global mula memberi kesan kepada rantaian nilai termasuk sektor pertanian.

“Bekalan beras dalam keadaan stabil buat masa ini sehingga hujung tahun ini. Tidak bermakna mulai 1 Januari nanti beras tak ada, sebaliknya sehingga tempoh itu kita ke arah (melaksanakan usaha) menstabilkan bekalan bagi tempoh selepas itu pula.

“Jangan panik, jangan beli (beras) banyak-banyak. Beli macam biasa,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Projek Pembangunan Nanas Secara Komuniti Parlimen Kota Raja bagi Pembangunan projek rintis Program Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (Pintar) di sini, hari ini.

Minggu lalu, beliau memaklumkan konflik di Asia Barat dibimbangi menyumbang kepada perubahan harga beras jika ia terus berpanjangan menjejaskan pergerakan perdagangan maritim di Selat Hormuz.

Menurutnya, implikasi daripada perubahan harga bahan api memberi kesan yang teruk sekiranya pengimportan beras dibuat dari India atau Vietnam kerana melibatkan pengangkutan.

Terdahulu, dalam ucapan perasmian program itu, Mohamad memberitahu, kerajaan turut memperkemaskan stok simpanan beras negara sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi ketidaktentuan pasaran global.

“Dunia ketika ini sedang berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik yang memberi kesan langsung kepada sistem makanan global. Kesan daripada situasi itu turut dirasai oleh Malaysia sebagai sebuah negara yang masih bergantung kepada import.

“Gangguan di Selat Hormuz memberi kesan terhadap bekalan baja dan kos logistik antarabangsa. Keadaan itu menyebabkan peningkatan kos pengeluaran pertanian di banyak negara Asia termasuk Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN