SHAH ALAM: Rang Undang-Undang (RUU) Kedaulatan Raja dicadang diwujudkan bagi mencegah dan menghukum mana-mana pihak yang mempersoal, menghina atau mempersenda titah diraja dan mencemarkan martabat institusi diraja.
Malah, RUU tersebut perlu bersifat seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sudah dimansuhkan sebelum ini bagi membolehkan mana-mana individu yang membuat tindakan sedemikian terus ditahan tanpa waran bagi tujuan siasatan.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, beliau juga menggesa kerajaan supaya menubuhkan Lembaga Kedaulatan Negara.
Katanya, jawatankuasanya terdiri daripada Ketua Hakim Negara sebagai Pengerusi, Perdana Menteri, Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri, dan tiga hingga empat individu lain yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja Melayu.
“Selain itu, mohon perkenan Majlis Raja-Raja Melayu supaya diwujudkan juga Lembaga Kesetiaan Negara yang berperanan menilai dan mengesyorkan tindakan perlucutan taraf kewarganegaraan terhadap mana-mana individu yang biadap, derhaka atau apa jua penghinaan terhadap institusi raja-raja Melayu serta agama Islam.
“Cadangan dalam perisytiharan ini iaitu RUU Kedaulatan Raja dan penubuhan Lembaga Kesetiaan Negara dikemukakan melalui Himpunan Daulat Tuanku adalah sebagai reaksi serta langkah pencegahan bagi memastikan tiada lagi sebarang bentuk penghinaan, penderhakaan dan tindakan mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu serta kedudukan Islam,” katanya ketika berucap dalam Himpunan Daulat Tuanku di sini, hari ini.
Sekurang-kurangnya 5,000 peserta hadir ke perhimpunan tersebut mewakili lebih 300 organisasi bukan kerajaan (NGO) dan parti politik seperti Pas, UMNO, Putra dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dekat Persiaran Sultan di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS).

Sementara itu, Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Noh Omar ketika ditemui pada perhimpunan tersebut bersetuju dengan cadangan dilontarkan oleh bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.
Menurutnya, Malaysia sebagai sebuah negara unik sebenarnya mempunyai empat pemisahan kuasa iaitu perundangan, kehakiman, eksekutif dan institusi diraja di semua negeri.
“Malaysia sebenarnya ada satu lagi (pemisahan kuasa) yang terbesar iaitu royalty (institusi diraja), bukan setakat tiga separation of power. Semua orang kena hormat, sebab dalam Rukun Negara ada sebut ‘Kesetiaan kepada raja dan negara’.
“Jadi saya hendak ulang balik (tegaskan) kalau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tak boleh hormat keputusan sultan, lebih baik dia keluar dari Selangor. Tak perlu tinggal di Selangor,” ujarnya. – UTUSAN










