KLANG: Seorang warga emas pemandu kereta Mazda CX5 ditahan polis dipercayai melanggar tiga sekeluarga pejalan kaki sehingga dua daripada mereka maut dekat Jalan Pekan Baru, Bandar Baru Klang, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, suspek yang merupakan seorang peniaga berusia 75 tahun ditahan dekat sebuah restoran miliknya kira-kira pukul 11.40 pagi.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis membuat tangkapan terhadap lelaki terbabit. Suspek ditahan dan akan direman untuk siasatan lanjut.
”Bagaimanapun, semakan rekod lampau menunjukkan suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau dadah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, dua beradik maut selepas sekumpulan tiga orang sedang berjalan kaki dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).
Sementara seorang lagi mangsa iaitu pelajar tingkatan lima sebuah sekolah swasta merupakan anak kepada salah seorang mangsa yang meninggal dunia itu mengalami cedera ringan.
Remaja yang cedera itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menerima rawatan, sementara mangsa meninggal dunia di bawa ke Unit Perubatan Forensik hospital sama bagi tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Justeru, Vijaya Rao menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860 atau tampil ke mana-mana balai polis yang berhampiran.
“Orang awam turut dinasihatkan agar sentiasa memandu dengan berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan bersama,” ujarnya. – UTUSAN










