JOHOR BAHRU: Tiga sindiket dadah berasingan berjaya ditumpaskan Polis Johor dalam tempoh 4 hari antara 11 Mei hingga 14 Mei lalu melibatkan rampasan 41.62 kilogram dadah bernilai RM4.36 juta.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, operasi yang dijalankan di enam lokasi berbeza itu turut menyaksikan seramai 10 suspek termasuk sepasang suami isteri dan lima warga asing ditahan.
Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan lima wanita berusia antara 24 hingga 54 tahun.
“Operasi pertama melibatkan serbuan di empat lokasi berasingan di Johor Bahru yang menyaksikan penahanan tujuh suspek dengan rampasan dadah bernilai RM1.47 juta.
“Manakala operasi kedua di Batu Pahat dengan penahanan seorang lelaki dan rampasan dadah bernilai RM1.15 juta. Operasi ketiga pula dibuat di Johor Bahru menyaksikan dua individu ditahan dengan rampasan dadah bernilai RM1.73 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tambah Chuan Huat, selain rampasan dadah, pihaknya turut menyita pelbagai aset menerusi ketiga-tiga operasi berkenaan termasuklah lima buah kereta, barang kemas serta wang tunai bernilai keseluruhan RM498,287.10.
“Ketiga-tiga sindiket ini telah aktif beroperasi sejak Januari dan Februari lalu. Jika jumlah dadah itu berada dalam pasaran ia boleh digunakan seramai 143,600 penagih.
“Tujuh suspek positif dadah, manakala dua mempunyai rekod kesalahan lampau. Kesemuanya kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.










