Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyokong penganjuran Festival Peranakan Malaysia 2026 menerusi rombongan Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia yang menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) ke Taiping yang berlangsung dari 3 hingga 5 Julai ini.
Sokongan ini sekali gus mencerminkan komitmen KTMB dalam memperkukuh agenda Road to Rail menerusi galakan penggunaan pengangkutan rel sebagai mod perjalanan utama, di samping menyokong usaha mempromosikan pelancongan domestik serta memelihara kepelbagaian warisan dan budaya yang menjadi identiti Malaysia.
Festival ini menghimpunkan komuniti Peranakan dari seluruh negara melalui pelbagai aktiviti yang mengetengahkan sejarah, budaya, seni, warisan, gastronomi serta adat resam masyarakat Baba dan Nyonya.
Ketua Pegawai Operasi KTMB, Afzar Zakariya berkata, pengangkutan rel bukan sekadar menghubungkan destinasi, malah memainkan peranan penting dalam menghubungkan masyarakat, budaya dan warisan negara.
“Keunikan masyarakat Baba dan Nyonya merupakan antara identiti Malaysia yang wajar terus diperkenalkan kepada dunia. Kami harap agar lebih ramai pelancong
memilih perkhidmatan rel untuk meneroka keindahan negara serta menikmati sendiri kepelbagaian budaya yang menjadi kebanggaan Malaysia selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026”, katanya .
KTMB menyeru pertubuhan, persatuan, komuniti dan penganjur acara memilih pengangkutan rel sebagai mod perjalanan utama, sekali gus menyokong usaha memperluaskan penggunaan pengangkutan awam, mengurangkan kesesakan jalan raya dan mengurangkan pelepasan karbon.










