PETALING JAYA: Kebajikan dan usaha membawa pulang lima lagi pelaut Malaysia yang masih terkandas di Pelabuhan Hamriyah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) kekal menjadi keutamaan Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM).
Setiausaha NUSPM, Ikmal Azam Thanaraj Abdullah berkata, pihaknya kesal dengan sikap berdiam diri syarikat Shapadu berhubung kebajikan pelaut-pelaut yang masih terkandas.
Katanya, pelaut terbabit bersama keluarga mereka berhak menerima maklumat, layanan berperikemanusiaan serta komitmen yang jelas daripada semua pihak berkaitan.
“Kesatuan bersama Ketua Pengarah Laut telah berusaha tanpa henti, malah melangkaui tanggungjawab masing-masing bagi memastikan proses membawa pulang lima pelaut itu dapat disegerakan.
“Selain itu, NUSPM bersama Kumpulan Wang Perlindungan dan Kebajikan Pelaut Laut (KWPPL) turut menyalurkan bantuan kewangan bagi meringankan beban keluarga mangsa.
“KWPPL juga sentiasa berhubung dengan keluarga pelaut terbabit bagi menyalurkan perkembangan terkini, memberi sokongan serta memastikan mereka terus mendapat maklumat sepanjang tempoh sukar ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ikmal berkata, sebagai sebahagian daripada usaha mempercepatkan proses repatriasi, NUSPM bersama Ketua Pengarah Laut merancang mengadakan lawatan ke kapal berkenaan pada 15 Julai.
Lawatan itu bertujuan mengadakan perbincangan secara terus dengan pihak-pihak berkaitan bagi memudahkan proses membawa pulang kelima-lima pelaut ke Malaysia secepat mungkin.
“Kami akan terus melakukan segala usaha yang perlu bagi memastikan lima pelaut terbabit dapat dibawa pulang ke tanah air secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN










