Boleh digilap lagi bakat mengacara Azeva itu - Utusan Malaysia

Boleh digilap lagi bakat mengacara Azeva itu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kalau sudah bergelar figura awam, memang apa sahaja yang dilakukan pasti ada mata yang memerhati. Begitulah nasib penyanyi, Azeva, yang kini diberikan peluang besar untuk mengembangkan bakat sebagai pengacara.

Bukan calang-calang pentas, Azeva diberi kepercayaan mengendalikan program Big Stage buat pertama kali bersama pengacara berpengalaman, Nabil Ahmad. Sudah tentu peluang sebegini bukan datang setiap hari.

Namun, biasalah. Belum sempat hendak menarik nafas lega, sudah muncul pelbagai komen daripada netizen. Ada yang mendakwa penyampaiannya masih kurang meyakinkan, ada pula yang mengatakan suaranya terlalu lantang sehingga kedengaran seperti terjerit-jerit. Macam-macam pula yang diperkatakan.

Bagi Cik Bunga, tidak perlulah terlalu cepat menghukum. Kalau hendak dibandingkan dengan pengacara yang sudah bertahun-tahun berada di atas pentas, sudah tentu pengalaman mereka jauh berbeza.

Azeva pula baru diberikan peluang untuk membuktikan kemampuannya. Terus-terang, persembahannya sebagai pengacara tidaklah seteruk yang digambarkan sesetengah pihak. Ada kekok di sana sini, itu perkara biasa. Sesekali tersasul atau terlebih bersemangat ketika bercakap pun bukanlah satu kesalahan besar sehingga perlu dijadikan isu.

Lagipun, setiap pengacara terkenal yang kita lihat hari ini juga pernah melalui fasa belajar. Bakat mengendalikan pentas bukan sesuatu yang terus sempurna dalam satu malam. Ia memerlukan masa, latihan dan pendedahan yang berterusan.

Cik Bunga percaya, jika Azeva terus diberi ruang dan bimbingan, tidak mustahil dia mampu menjadi pengacara yang lebih mantap pada masa akan datang. Yang penting, jadikan setiap teguran sebagai pembakar semangat, bukannya alasan untuk mengalah.

Jadi, sebelum terlalu rancak mengkritik, apa kata beri peluang dahulu. Mana tahu, beberapa episod lagi nanti, Azeva pula yang buat ramai terpukau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN