Trump puji AS sempena hari kemerdekaan ke-250 - Utusan Malaysia

Trump puji AS sempena hari kemerdekaan ke-250

TRUMP memuji AS pada ulang tahun ke-250 negara itu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memuji Amerika sempena ulang tahun ke-250 negara itu pada Sabtu sebagai pencapaian tertinggi dalam sejarah manusia.

Pujian itu diberikan meskipun beliau turut menggunakan kesempatan itu untuk mengulangi serangannya terhadap lawan politik dalam negara yang dilabelkannya sebagai komunis.

Dalam ucapan yang tertangguh beberapa jam selepas ribut memaksa pemindahan sementara orang ramai di Washington, Trump mendakwa bahawa di bawah pentadbirannya, AS kini lebih berbangga berbanding sebelum ini.

Walaupun Trump sebelum ini menjanjikan satu perhimpunan politik besar bagi menonjolkan jenama politiknya sempena sambutan kebangsaan itu, pemimpin Republikan berusia 80 tahun itu sebahagian besarnya mengekalkan nada ucapan yang lebih bersifat patriotik.

“Selama dua setengah abad, republik Amerika kita telah berdiri sebagai pencapaian tertinggi dalam sejarah manusia,” kata Trump kepada puluhan ribu hadirin yang berhimpun di Taman National Mall.

Beliau turut memberi penghormatan kepada veteran Perang Dunia Kedua, Perang Korea dan Perang Vietnam.

Namun, beliau kemudian menyifatkan dua peperangan terakhir itu sebagai contoh perjuangan menentang komunis  sekali gus mengulangi mesej yang disampaikannya dalam ucapan di monumen ikonik Mount Rushmore pada malam Jumaat.

“Pejuang-pejuang kita tidak berperang menentang komunisme di medan perang di seluruh dunia hanya untuk melihat ancaman itu muncul semula di Amerika. Kita tidak akan membiarkan perkara itu berlaku,” katanya.

Trump sejak kebelakangan ini berulang kali menekankan tema tersebut menjelang pilihan raya pertengahan penggal Amerika  pada November.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN