JPJ diarah kembalikan urusan tukar hak milik kenderaan dalam talian

JPJ diarah kembalikan urusan tukar hak milik kenderaan dalam talian

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarah mengembalikan serta-merta perkhidmatan dalam talian bagi urus niaga Tukar Hak Milik (THM) yang sebelum ini ditangguh bagi tujuan penambahbaikan sistem.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan bersama Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli susulan laporan media mengenai penangguhan perkhidmatan berkenaan malam tadi.

Katanya, JPJ sebelum ini memaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung penyalahgunaan dan penipuan yang berlaku dalam sistem pertukaran hak milik sehingga menyebabkan liabiliti yang perlu ditanggung jabatan berkenaan.

“Bagaimanapun, saya telah menasihati JPJ supaya memastikan kerja-kerja penambahbaikan sistem tidak mengganggu urusan harian pengguna biasa dan tidak menyebabkan kesesakan besar di pejabat JPJ.

“JPJ bersetuju untuk mengembalikan perkhidmatan dalam talian bagi urusan pertukaran hak milik berkuat kuasa serta-merta.

“Sebarang penangguhan sistem bagi tujuan penambahbaikan hanya akan dilaksanakan ketika cuti panjang hujung minggu ini bagi mengurangkan kesan terhadap pengguna,” katanya di Facebook hari ini.

Semalam, Aedy Fadly menerusi satu kenyataan memaklumkan penangguhan sementara semua urus niaga Tukar Hak Milik (THM) kenderaan secara dalam talian berkuat kuasa mulai hari ini.

Menurut beliau, penangguhan itu melibatkan semua saluran digital termasuk portal awam, kios serta rakan niaga JPJ iaitu MyEG dan eAuto Sdn. Bhd.

Tindakan kawalan serta-merta tersebut diambil susulan beberapa aduan rasmi dan laporan di media sosial berhubung insiden pertukaran hak milik kenderaan yang didakwa berlaku tanpa pengetahuan pemilik berdaftar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN