KUALA LUMPUR: Pemain golf muda negara, Joshua Lim berjaya mempertahankan gelaran juara Kejohanan Golf Jemputan Remaja 2025 hari ini.
Joshua melakukan 215 pukulan menewaskan Reyes Halim dari Singapura dan pemain Korea Selatan Hanjaeho yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga selepas mengakhiri saingan dengan jumlah 215 dan 218 pukulan.
Kejohanan tersebut berlangsung selama tiga hari bermula Selasa lalu di The Royal Selangor Golf Club (RSGC).
“Permainan lawan saya sangat baik dan konsisten. Permainan jarak dekatnya adalah antara yang terbaik pernah saya lihat. Pujian wajar diberikan kepadanya kerana dia merupakan antara lawan paling sengit yang pernah saya hadapi.
“Semasa playoff, kami berdua sudah sangat keletihan dan perlawanan boleh memihak kepada sesiapa sahaja. Namun saya bernasib baik berjaya menyelesaikannya pada detik tersebut,” katanya.
Pada edisi lepas, Joshua melakukan 217 pukulan menewaskan Lee Shu dari Taiwan dan pemain Korea Selatan Kang Geon yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga selepas membuat 218 pukulan dalam kejohanan tersebut.
Joshua kini mengalihkan tumpuannya kepada sebuah kejohanan berkonsepkan kem kolej Amerika Syarikat (AS) yang bakal berlangsung di Singapura dua minggu lagi.
“Pesaing di Singapura nanti sudah pasti jauh lebih hebat berbanding di sini. Namun, kemenangan ini memberikan suntikan keyakinan yang besar kepada diri saya.
“Sudah tentu akan memotivasikan saya dengan lebih mendalam untuk kejohanan tersebut,” tambahnya.
Bagi saingan wanita pula menyaksikan wakil dari Singapura, Chloe Ng muncul juara dengan mengumpul 224 pukulan manakala tempat kedua dimenangi Bernice Hwang Ee Xuan dari Malaysia (226 pukulan) dan ketiga Anjanette Tan dari Singapura (227 pukulan).-UTUSAN










