Pink Swing Charity Golf 2026 sasar kutipan RM100,000 untuk BCWA

Pink Swing Charity Golf 2026 sasar kutipan RM100,000 untuk BCWA

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) menyasarkan kutipan dana sebanyak RM100,000 menerusi penganjuran Pink Swing Charity Golf 2026 sempena ulang tahunnya yang ke-40.

Pengurus Besar BCWA, Sumitra Selvaraj berkata, dana itu akan digunakan bagi membiayai pelbagai perkhidmatan sokongan yang disediakan secara percuma kepada pesakit dan keluarga yang terjejas akibat kanser payudara.

Menurutnya, kejohanan tersebut dianjurkan dengan kerjasama Templer Park Country Club selaku rakan penaja utama dan menghimpunkan tokoh korporat, pemimpin perniagaan, golongan profesional serta komuniti penggemar golf.

Katanya, penganjuran itu bukan sahaja membuka ruang untuk membina jaringan, malah menggalakkan masyarakat menyumbang kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu pesakit kanser payudara.

“Sebagai pertubuhan yang bergantung kepada sumbangan orang ramai, kami berharap kerjasama menerusi program seperti ini dapat membantu memastikan operasi BCWA diteruskan.

“Antara perkhidmatan yang disediakan ialah lawatan ke hospital, penyampaian maklumat dan sokongan rakan sebaya kepada pesakit yang baharu didiagnosis.

“Kami juga menyediakan coli pasca mastektomi dan prostesis silikon kepada golongan B40 yang menjalani pembedahan, selain pendidikan kesihatan payudara serta pemeriksaan klinikal oleh jururawat terlatih kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Templer Park Country Club bukan sahaja menjadi tuan rumah, malah turut memberi ruang kepada Klinik Bergerak MURNI milik BCWA untuk menyampaikan perkhidmatan kesedaran dan pemeriksaan kepada kakitangannya.

“Pengesanan awal mampu menyelamatkan nyawa. Apabila rakan kerjasama bukan sahaja membawa mesej tersebut, malah mengamalkannya dalam kalangan kakitangan sendiri, ia menunjukkan impak sebenar acara ini yang melangkaui padang golf,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Templer Park Country Club, Datuk Manibalan Kutty berkata, pihaknya akan menyumbang RM1 bagi setiap pusingan golf yang dimainkan sepanjang Oktober kepada BCWA.

Pada masa sama, katanya, kelab itu turut berjanji memadankan setiap ringgit yang berjaya dikumpulkan sepanjang tempoh kempen berkenaan.

“Di Malaysia, seorang daripada 19 wanita berisiko menghidap kanser payudara. Namun, kesannya bukan sahaja dirasai pesakit, malah turut melibatkan ahli keluarga, sahabat dan rakan sekerja.

“Kami percaya setiap bentuk sokongan amat bermakna. Atas sebab itu, Templer Park Country Club berbesar hati bekerjasama dengan BCWA menganjurkan Pink Swing Charity Golf 2026,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×