Jangan 'tekan' Azizulhasni ke LA 2028 - Khairy

Jangan ‘tekan’ Azizulhasni ke LA 2028 – Khairy

Azizulhasni Awang belum membuat sebarang keputusan berkenaan penyertaannya di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Khairy Jamaluddin memberi peringatan tegas agar jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tidak dipaksa membuat keputusan terburu-buru untuk terus beraksi sehingga Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.

Khairy berkata bahawa masa depan jaguh berusia 38 tahun itu wajar diserahkan sepenuhnya kepada pertimbangan keluarga tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak luar.

Situasi ini timbul ketika pelbagai pihak termasuk peminat dan PKBM menyuarakan harapan agar Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu menangguhkan hasrat persaraan demi misi terakhir di pentas Olimpik.

“Beliau akan berlumba sehingga Sukan Asia dan selepas itu perlu berbincang dengan keluarga tentang apa yang mahu dilakukan.

“Saya tidak fikir adil untuk kita memberi tekanan kepada beliau untuk terus sehingga LA 2028 kerana beliau hampir 40 tahun dan sudah banyak berkorban masa bersama keluarga,” kata Khairy ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam dan Penghargaan PKBM di sini kelmarin.

Sejak berstatus pelumba profesional, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu terus membuktikan dirinya masih berbisa apabila meraih dua emas keirin serta dua gangsa pecut individu dalam siri Piala Dunia Trek musim ini.

Dalam masa yang sama, Khairy turut mengakui cabaran menguruskan atlet veteran semakin besar, terutama dari segi risiko kecederaan dan tempoh pemulihan yang lebih panjang berbanding atlet muda.

“Jika beliau memutuskan untuk meneruskan karier beberapa tahun lagi, kita perlu pastikan sokongan diberi terutama dari segi sains sukan termasuk pemulihan dan rawatan kecederaan.

“Jika sokongan Majlis Sukan Negara (MSN) tidak mencukupi, sektor swasta perlu tampil membantu termasuk penaja seperti CIMB dan syarikat lain,” katanya.

Untuk rekod, Azizulhasni mencipta sejarah sebagai pemenang pingat Olimpik pertama Malaysia dalam acara berbasikal apabila meraih gangsa di Olimpik Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020, sebelum kempennya di Paris 2024 berakhir dengan kekecewaan selepas disingkirkan oleh komisar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN