Azizulhasni tunggu Lavreysen di final keirin

Azizulhasni, Lavreysen buat perhitungan di final keirin

DATUK Azizulhasni Awang (baju hitam) ketika melintasi garisan penamat pada aksi separuh akhir pertama keirin lelaki di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI: Pertembungan hangat antara jaguh negara, Datuk Azizulhasni Awang dan raja pecut dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen menjadi tumpuan utama selepas kedua-duanya mara ke final keirin Piala Dunia Trek 2026 di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, sebentar tadi.

Azizulhasni menghidupkan harapan emas tuan rumah apabila mempamerkan kayuhan penuh bertenaga untuk melangkah ke pentas penentuan dalam suasana penuh debar.

Dalam aksi separuh akhir pertama, pelumba kelahiran Terengganu itu mempamerkan kebijaksanaan taktikal apabila bermula di kelompok belakang sebelum melancarkan henjutan tepat pada dua pusingan terakhir untuk muncul juara saringan.

Kejayaan tersebut menyaksikan ikon yang digelar The Pocket Rocketman itu menewaskan pencabar utama dari Trinidad & Tobago, Nicholas Paul yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala jaguh Jerman, Henric Hackmann turut mengesahkan tempat ke final.

Sementara itu, separuh akhir kedua menyaksikan pelumba Jepun, Minato Nakaishi muncul juara diikuti Lavreysen dan Helal Rayan untuk melengkapkan senarai finalis.

Final yang dijadualkan berlangsung pada pukul 8.21 malam itu dijangka menjadi pentas pertarungan sengit dengan fokus terarah kepada pertembungan panas antara Azizulhasni dan Lavreysen.

Pertembungan tersebut bukan sekadar memburu emas, malah menjadi medan penentuan maruah apabila dua kuasa besar keirin dunia bersaing dalam aksi berintensiti tinggi di hadapan penyokong sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN