NILAI: Kesilapan kecil membawa padah apabila pelumba endurance wanita negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir tersingkir awal dalam acara penyingkiran wanita pada pusingan akhir Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini.
Pelumba berusia 29 tahun itu memulakan perlumbaan dengan baik dan dilihat berada dalam kelompok selamat, namun kesilapan taktikal pada saat kritikal menyaksikan kedudukannya terperangkap sebelum disingkirkan.
Keputusan tersebut menyaksikan Aisyah menamatkan saingan di tempat ke-21 daripada 23 pelumba, sekali gus gagal mencipta impak di laman sendiri.
Menurut Aisyah, beliau mengakui kelekaannya ketika perlumbaan menjadi punca utama kegagalan untuk terus bersaing hingga ke peringkat akhir.
“Saya rasa kurang puas hati kerana mungkin silap saya sendiri apabila leka seketika, saya fikir saya perlu berada di depan tetapi apabila semua pelumba lain meningkatkan kelajuan, saya tersilap teknik hingga berada terlalu bawah dan tiada ruang untuk mara.
“Bukan faktor keletihan tetapi acara penyingkiran ini lebih kepada taktikal dan kedudukan, bila sudah tersekat memang sukar untuk melakukan apa-apa walaupun kaki masih kuat dan saya sebenarnya masih mampu bersaing,” kata Aisyah kepada pemberita selepas perlumbaan di sini, hari ini.
Emas dimenangi pelumba Norway, Anita Yvonne Stenberg, manakala perak diraih Yareli Acevedo Mendoza dari Mexico dan Lara Gillespie (Ireland) di kedudukan ketiga.
Dalam masa sama, Aisyah tetap berbangga apabila berpeluang beraksi di hadapan keluarga serta penyokong tempatan, sesuatu yang disifatkannya sebagai pengalaman bermakna dalam kariernya.
“Saya berasa bangga kerana berpeluang berjuang untuk negara di hadapan keluarga serta penyokong tempatan, sekali gus menjadikannya satu pengalaman bersejarah buat saya kerana sebelum ini saya tidak pernah beraksi di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, dalam acara penyingkiran lelaki, Muhammad Hafiq Mohd Jafri menamatkan saingan di kedudukan ke-18.
Pingat emas dimenangi Rusia, Ilya Savekin yang tampil dominan sepanjang perlumbaan manakala tempat kedua menjadi milik wakil Sepanyol, Alvaro Navas Marchal, manakala gangsa diraih pelumba Itali, Matteo Fiorin. – UTUSAN










