TEHERAN: Iran menuduh Amerika Syarikat (AS) mengemukakan ‘tuntutan berlebihan’ ketika rundingan damai memasuki fasa kritikal, selepas Washington dilaporkan sedang mempertimbang serangan baharu ke atas Teheran.
Ketua tentera Pakistan, Asim Munir, tiba di Teheran kelmarin bagi memperkukuh usaha pengantaraan, manakala Presiden AS, Donald Trump, dilaporkan tidak menghadiri majlis perkahwinan anak lelakinya hujung minggu ini dan kekal di Washington atas alasan ‘keadaan berkaitan kerajaan.
Laporan media AS itu sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai situasi konflik yang kini memasuki fasa sensitif.
Trump menyifatkan rundingan yang bersifat tidak menentu minggu ini sebagai berada di ‘sempadan’ antara serangan baharu atau perjanjian untuk menamatkan perang.
Sejak gencatan senjata pada 8 April, rundingan termasuk pertemuan bersemuka yang dihoskan Islamabad masih gagal mencapai penyelesaian kekal atau memulihkan akses penuh di laluan strategik itu, sekali gus terus mengganggu bekalan minyak global.
Menteri Luar Iran Abbas Araghchi dalam perbualan dengan Setiausaha Agung PBB António Guterres menegaskan Tehran masih komited terhadap proses diplomatik, namun AS berulang kali mengkhianati usaha rundingan serta mengemukakan tuntutan yang bercanggah.
Pegawai AS terus membangkitkan kemungkinan tindakan ketenteraan baharu terhadap Iran sekiranya tiada perjanjian dicapai, dengan Setiausaha Negara, Marco Rubio mendakwa terdapat ‘sedikit kemajuan’ ke arah penyelesaian damai, namun keadaan masih belum mencapai tahap yang diharapkan.
“Kami berdepan dengan kumpulan yang sangat sukar. Jika keadaan tidak berubah, presiden telah jelas bahawa beliau mempunyai pilihan lain,” katanya di luar persidangan NATO di Sweden kelmarin.
Agensi berita rasmi IRNA melaporkan, Munir tiba di Teheran pada Jumaat dan mengadakan pertemuan lewat malam dengan Araghchi, bagi membincangkan usaha terkini untuk mengelakkan peningkatan konflik.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, bagaimanapun berkata lawatan itu tidak bermaksud mencapai sebarang ‘titik perubahan’, sambil menegaskan masih wujud perbezaan mendalam antara pihak terlibat, lapor agensi ISNA.
Beliau turut memaklumkan delegasi Qatar juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Iran pada Jumaat.- AFP










