NEW DELHI: Umat Islam di beberapa kawasan di Uttar Pradesh, India dilaporkan berdepan sekatan penggunaan ruang awam bagi menunaikan solat sunat Aidiladha, sekali gus mencetuskan kebimbangan menjelang sambutan perayaan tersebut.
Di kampung Maliyana, kira-kira 80 kilometer dari New Delhi, hampir 50 jemaah berkumpul di sebuah masjid kecil bagi membincangkan peraturan ketat berkaitan lokasi solat, sekatan jalan, kehadiran polis serta arahan supaya tidak berkumpul di kawasan terbuka.
Ahli jawatankuasa masjid turut mengingatkan jemaah supaya tidak berkumpul di luar pintu masjid, mengelakkan pertengkaran, tidak merakam insiden serta tidak bertindak balas terhadap sebarang provokasi.
Keadaan itu berlaku ketika kerajaan negeri Uttar Pradesh yang dipimpin Yogi Adityanath sejak 2017 memperketatkan tindakan terhadap solat di jalan raya dan kawasan terbuka.
Pada 18 Mei lalu, Adityanath berkata, umat Islam perlu menunaikan solat Aidiladha secara ‘berperingkat’ atau mengikut giliran.
Dalam masa sama, kumpulan Hindu sayap kanan di India semakin lantang membantah pelaksanaan solat di ruang awam pada hari Jumaat dan ketika perayaan dengan alasan isu keselamatan dan kesesakan lalu lintas.
Gerakan itu menjadi lebih kuat selepas kemenangan pemimpin nasionalis Hindu, Narendra Modi pada 2014.
Kumpulan berkenaan, termasuk ahli politik daripada parti pemerintah Bharatiya Janata Party (BJP), didakwa mengganggu solat Jumaat di jalan raya, taman dan kawasan lapang.
Rakaman video tular yang menunjukkan umat Islam bersolat di kawasan terbuka turut mencetuskan kemarahan serta kempen dalam talian, sehingga dalam beberapa kes pihak berkuasa menarik semula kebenaran yang telah diberikan.
Minggu lalu, kumpulan Hindu sayap kanan Vishwa Hindu Parishad (VHP) menuntut larangan menyeluruh di seluruh negara terhadap solat di jalan raya, dengan menyifatkan amalan itu sebagai ‘menunjuk-nunjuk’.
Bagaimanapun, umat Islam berhujah sekatan terhadap solat di ruang awam mengabaikan realiti praktikal, apabila banyak masjid dan kawasan khas solat Aidilfitri atau Aidiladha tidak mampu menampung jumlah jemaah yang besar, terutama di kawasan padat penduduk.- AL JAZEERA










