JOHOR BAHRU: Sindiket perjudian dalam talian yang didalangi seorang lelaki warganegara China mengaut untung hampir RM1 juta sebulan dengan menjadikan sebuah pangsapuri mewah di Iskandar Puteri, di sini sebagai pusat panggilan.
Bagaimanapun, kegiatan itu hanya mampu bertahan selama tiga bulan sebelum pusat panggilan tersebut diserbu anggota dan pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor, Rabu lalu.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan dua lelaki China dan lima wanita Thailand berusia lingkungan 33 hingga 38 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki warga China berusia tujuh tahun.
“Hasil maklumat awam dan risikan selama tujuh hari, JIM Johor telah membuat serbuan Ops Serkap di sebuah pangsapuri mewah yang dijadikan pusat panggilan dan menahan lapan warganegara asing.
“Dalam serbuan itu, turut ditahan dalang sindiket judi atas talian berusia 38 tahun. Mereka ini dipercayai telah beroperasi sejak tiga bulan yang lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Setiap Tropika, di sini hari ini.
Mohd. Rusdi berkata, pihaknya turut tujuh komputer, 34 unit telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah mesin pencetak serta want tunai RM2,500.
“Kesemua wanita Thailand yang ditahan berperanan sebagai operator bagi membantu kaki judi melakukan urusan tambah nilai terhadap akaun masing-masing serta transaksi ke bank pilihan pemain.
“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan negara ini sebagai pusat operasi judi atas talian bagi pasaran pemain dari Thailand serta segelintir pemain dari Emeriyah Arab Bersatu (UAE),” katanya sambil memberitahu tindakan dibuat di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Pada masa sama, Mohd. Rusdi memaklumkan pihaknya telah menjalankan 458 operasi dan menahan seramai 1,452 suspek atas pelbagai kesalahan imigresen sejak awal tahun hingga Mac lalu.










