PMW terus sokong peluasan 5G di Sabah melalui kontrak CTS

PMW terus sokong peluasan 5G di Sabah melalui kontrak CTS

LEE Hon Hwa (depan, kiri) semasa majlis permeteraian pembaharuan perjanjian pembekalan tiang konkrit bagi menyokong peluasan infrastruktur telekomunikasi di Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PMW International Berhad (PMW) melalui anak syarikat milik penuhnya, PMW Winabumi Sdn. Bhd. (PWSB) menyambung kontrak pembekalan tiang konkrit dengan CTS Horizon Sdn. Bhd. (CTS) bagi menyokong peluasan infrastruktur telekomunikasi di Sabah.  

Di bawah kontrak baharu ini, PMW akan membekalkan tiang konkrit prategasan untuk tempoh tiga tahun bermula 12 Disember 2025, dengan pilihan lanjutan selama dua tahun lagi. 

Pemeteraian perjanjian itu menyaksikan kesinambungan kerjasama strategik yang telah terjalin sejak tahun 2017. 

CTS yang merupakan penyedia rangkaian penghantaran gentian optik utama di Sabah dan Labuan, merancang pelaburan sekitar RM316.3 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang. 

Pelaburan itu merangkumi penyediaan 120,000 premis gentian ke rumah (FTTH) yang dijangka akan memacu permintaan berterusan terhadap komponen infrastruktur sokongan.  

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PMW, Lee Hon Hwa berkata, pembaharuan kontrak itu mencerminkan keyakinan berterusan CTS terhadap kualiti produk dan keupayaan penghantaran syarikat sepanjang tahun.  

“Pelanjutan ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan syarikat dalam segmen infrastruktur telekomunikasi, malah menyerlahkan peranan PMW sebagai pembekal dipercayai dalam menyokong peluasan rangkaian dan penyelenggaraan di Sabah.  

“Kami percaya PMW berada di kedudukan terbaik untuk meraih manfaat daripada permintaan yang semakin meningkat didorong oleh penggunaan 5G dan peluasan rangkaian gentian, terutamanya dalam menyokong pembangunan infrastruktur serantau,” katanya dalam kenyataan.  

Tambah beliau, PMW turut melihat peluang untuk meluaskan kerjasama dengan CTS melangkaui pasaran Sabah ke wilayah lain seperti Sarawak dan Kalimantan, selaras dengan strategi pertumbuhan CTS yang merangkumi pembangunan pusat data dan infrastruktur digital generasi akan datang.  

“Kontrak ini dijangka akan menyokong pelbagai projek infrastruktur CTS yang sedang berjalan, termasuk kerja perlindungan rangkaian gentian membabitkan kira-kira 800 kilometer (km) kabel gentian optik serta inisiatif di bawah projek JENDELA dan pelancaran 5G,” tambahnya. 

Selain itu, struktur kontrak yang membolehkan semakan harga berkala mengikut perubahan kos input akan membantu PMW mengekalkan kemampanan margin syarikat. 

Langkah ini juga memberi gambaran yang lebih jelas terhadap aliran pendapatan masa hadapan kumpulan memandangkan pesanan akan dikeluarkan secara progresif sepanjang tempoh kontrak.  

Syarikat kekal positif terhadap prospek masa hadapan memandangkan rangkaian telekomunikasi terus berkembang pesat bagi memenuhi keperluan penggunaan data dan ketersambungan nasional. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×