ALOR SETAR: Cadangan menetapkan harga lantai belian padi pada RM3,000 bagi setiap tan metrik berisiko mendorong kenaikan harga beras sehingga melebihi RM6 sekilogram di pasaran tempatan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, penetapan harga itu tidak boleh dilihat secara terasing tanpa mengambil kira keseluruhan rantaian kos pengeluaran hingga ke peringkat pengguna.
“Kalau harga lantai RM3,000 dilaksanakan, secara mudahnya harga beras boleh melebihi RM6 sekilogram. Jadi, kita tidak boleh pisahkan antara harga padi dan harga beras,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MADA, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa gabungan itu bersedia untuk menetapkan harga lantai padi RM3,000 per tan metrik sekiranya diberi mandat selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Tambah Dr. Ismail, cadangan tersebut bersifat retorik politik yang tidak mengambil kira realiti industri padi dan beras negara.
“Harga lantai RM3,000 itu hanya ucapan politik untuk tunjukkan bahawa kerajaan yang ada sekarang ini satu sen pun tak guna. Kerajaan sekarang ini tidak mampu buat apa-apa bila kami (PN) naik akan berlaku kenaikan RM3,000.
“Saya tidak pasti sekiranya beliau memahami industri dengan baik hanya melontarkan untuk mendapatkan sokongan daripada mereka yang hadir atau kepentingan politik sahaja,” katanya.
Menurutnya, rekod menunjukkan kenaikan harga lantai padi sebelum ini dilaksanakan secara berperingkat, iaitu daripada RM1,200 kepada RM1,300 dan seterusnya RM1,500 di bawah pentadbiran kerajaan sedia ada.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan kini sedang merangka mekanisme harga apung bagi beras sebagai langkah menstabilkan pasaran dengan mengambil kira faktor kos global seperti kenaikan harga diesel dan baja.
Katanya, peningkatan kos input di negara pengeluar utama seperti Thailand dan Vietnam turut memberi kesan kepada harga import beras negara, sekali gus mempengaruhi harga domestik.
“Apabila harga beras dunia meningkat, harga dalam negara juga akan terkesan. Sebab itu kita mencadangkan mekanisme harga apung supaya wujud keseimbangan antara harga padi dan beras,” jelasnya.-UTUSAN










