ADUN Bersatu buat pusingan 'U', pilih berkecuali kemelut di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

ADUN Bersatu buat pusingan ‘U’, pilih berkecuali kemelut di Negeri Sembilan

air
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Ridzuan Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Ridzuan Ahmad mengambil pendirian berkecuali dalam kemelut politik yang melanda Negeri Sembilan dengan alasan penukaran kepemimpinan kerajaan negeri ketika ini tidak sesuai dan berpotensi menyebabkan ketidakstabilan.

Ridzuan yang juga ADUN Perikatan Nasional (PN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pendirian itu diambil susulan tindakan 14 ADUN Barisan Nasional (BN) yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Harun.

“Pendirian ini diambil setelah mempertimbangkan secara mendalam kepentingan rakyat dan kestabilan negeri serta negara secara keseluruhannya.

“Adalah menjadi keutamaan saya untuk memastikan bahawa keadaan politik kekal stabil dan tidak menjejaskan pemulihan serta pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam suasana semasa yang mencabar,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Pendirian Ridzuan itu dilihat bercanggah dengan keputusan secara konsensus yang diumumkan Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker yang sebelum ini mengumumkan lima ADUN PN sedia bekerjasama dengan Barisan Nasiona (BN) sekali gus dapat menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.

Ridzuan berkata, beliau juga berpendapat bahawa sebarang perubahan besar dalam landskap politik sewajarnya diserahkan kepada mandat rakyat melalui pilihan raya umum akan datang bukannya dilakukan dalam keadaan semasa yang boleh mencetuskan ketidaktentuan.

“Saya ingin menegaskan bahawa fokus utama semua pihak seharusnya tertumpu kepada isu-isu rakyat termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan, kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi negeri.

“Sehubungan itu, pendirian berkecuali ini adalah selari dengan prinsip saya untuk mengutamakan kestabilan, kematangan politik dan kebajikan rakyat melebihi kepentingan politik jangka pendek,” katanya.

Beliau juga memberi jaminan untuk terus menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan memberi fokus sepenuhnya kepada kebajikan rakyat dan kekal di sebelah pembangkang bagi melaksanakan tugas semak dan imbang segala dasar kerajaan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN