FA kena turun padang bantu perluas 'kolam' bakat akar umbi

FA kena turun padang bantu perluas ‘kolam’ bakat akar umbi

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) menggesa semua Persatuan Bolasepak Negeri (FA) kembali memperkukuh peranan asas mereka dengan memberi tumpuan serius terhadap pencarian bakat di peringkat akar umbi, bukan hanya bergantung kepada sistem elit semata-mata.

Presidennya, Mohd Firdaus Mohamed menegaskan usaha pembangunan pemain perlu diperluaskan secara menyeluruh hingga ke sekolah biasa, komuniti setempat serta kawasan perumahan bagi memastikan tiada bakat tercicir.

Menurut beliau, landskap bola sepak tempatan menunjukkan ramai pemain berkualiti sebenarnya muncul daripada persekitaran bukan formal yang sering terlepas daripada radar pencari bakat.

“Bakat ini bukan hanya wujud di Sekolah Sukan atau Akademi Mokhtar Dahari. Di sekolah biasa, di kampung, di taman perumahan di situlah banyak permata tersembunyi yang kita terlepas pandang.

“Jadi FA negeri perlu turun padang, cari dan gilap bakat ini dari bawah. Jangan tunggu mereka datang kepada sistem,” katanya.

Jelas Firdaus, pendekatan terlalu tertumpu kepada institusi seperti Sekolah Sukan Negeri dan Program Pembangunan Bolasepak Negara perlu diimbangi dengan usaha menyeluruh di peringkat akar umbi bagi memperluaskan ‘kolam’ bakat negara.

Tegasnya, meskipun peranan institusi tersebut tidak boleh dinafikan dalam melahirkan pemain berkualiti, ia tidak seharusnya menjadi satu-satunya laluan untuk ke peringkat lebih tinggi.

Firdaus turut menyuarakan kebimbangan terhadap sikap segelintir persatuan yang gagal melaksanakan tanggungjawab pembangunan dengan berkesan, sekali gus menjejaskan kesinambungan rantaian bakat negara.

“Ada yang buat kerja, tapi ada juga yang tidak. Bila ini berlaku, proses mengenal pasti pemain untuk skuad kebangsaan jadi terbantut.

“Kesannya, kita terpaksa kembali bermula dari bawah kerana asas pembangunan itu sendiri tidak kukuh,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN