Doku selamatkan City, Arsenal di ambang juara

Doku selamatkan City, Arsenal di ambang juara

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola tertunduk kecewa selepas pasukannya sekadar seri 3-3 dengan Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Hill Dickinson, awal pagi tadi.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL: Jeremy Doku muncul penyelamat Manchester City apabila meledak gol pada masa kecederaan untuk memastikan keputusan seri 3-3 menentang Everton, awal pagi tadi, sekali gus membuka laluan lebih cerah buat Arsenal dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Keputusan itu menyaksikan Arsenal kini hanya perlu memenangi baki tiga perlawanan untuk menamatkan penantian selama 22 tahun menjulang trofi liga.

City yang dibimbing Pep Guardiola kini ketinggalan lima mata di belakang skuad kendalian Mikel Arteta, meskipun masih memiliki satu perlawanan dalam tangan.

Aksi di Stadium Hill Dickinson menyaksikan City bermula cemerlang apabila menguasai permainan dan mendahului hasil jaringan Doku pada penghujung separuh masa pertama.

Namun, kelonggaran pada babak kedua membuka ruang buat Everton bangkit menerusi dua gol Thierno Barry serta satu tandukan Jake O’Brien.

City kembali menghidupkan harapan menerusi jaringan Erling Haaland sebelum Doku sekali lagi mencuri tumpuan dengan gol dramatik pada minit ke-97 untuk menyelamatkan satu mata berharga.

Walaupun kecewa dengan keputusan tersebut, Doku menegaskan City masih belum mengalah dalam perebutan kejuaraan musim ini.

“Ia menyakitkan sekarang tetapi masih banyak perlawanan dan apa sahaja boleh berlaku.Kami akan terus berjuang. Kami berhutang kepada diri sendiri dan penyokong,” katanya.

Dalam pada itu, Arsenal bakal berdepan West Ham United, Burnley dan Crystal Palace dalam baki aksi liga, dengan setiap kemenangan bakal membawa mereka semakin hampir ke takhta kejuaraan.

City pula perlu bangkit segera bagi mengekalkan peluang tipis, terutama selepas mempamerkan aksi tidak konsisten meskipun menguasai hampir keseluruhan permainan pada separuh masa pertama. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN