Piala ACC: Laluan JDT ke final berliku, tewas 1-3 kepada Buriram

Piala ACC: Laluan JDT ke final berliku, tewas 1-3 kepada Buriram

PENYERANG JDT Rui Filipe diasak pertahanan Buriram United Guilherme Bissoli pada aksi separuh akhir pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.- UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Harapan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk melangkah ke pentas akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) semakin sukar apabila tewas 1-3 kepada Buriram United pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Penyerang sensasi pelawat, Guilherme Bissoli muncul duri dalam daging buat skuad Harimau Selatan apabila meledak dua gol penting, bagi memberi kelebihan besar kepada juara Thailand itu menjelang aksi timbal balik pada 13 Mei ini di Stadium Arena Chang.

Meskipun bermula garang dan menguasai sebahagian besar permainan, JDT gagal memanfaatkan peluang awal dengan percubaan Nacho Mendez yang hampir menghukum kesilapan penjaga gol pelawat, Neil Etheridge namun berjaya diselamatkan pertahanan lawan.

Dominasi tuan rumah bagaimanapun tidak diterjemahkan kepada jaringan apabila Buriram terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi penyudah tajam Bissoli pada minit ke-34 hasil umpanan Sasalak Haiprakhon.

Malang terus menimpa JDT apabila pelawat menggandakan kelebihan menjelang rehat menerusi tandukan Theerathon Bunmathan, sekali gus memberikan tekanan besar kepada skuad kendalian Xisco Munoz.

Memasuki babak kedua, JDT cuba bangkit dengan meningkatkan tempo permainan, namun kekentalan benteng Buriram menyukarkan usaha mereka untuk menembusi gawang lawan.

Suhu permainan bertambah panas apabila berlaku kekecohan pada minit ke-50 selepas kapten Kenneth Dougall menyepak bola yang berada di kepala Jairo Da Silva yang sedang terbaring di atas padang hingga mencetus pertelingkahan antara kedua-dua pasukan.

PEMAIN Buriram United meraikan gol pertama menentang JDT pada aksi separuh akhir pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Meskipun pemain JDT, Ager Aketxe berjaya merapatkan kedudukan pada masa kecederaan, harapan kebangkitan JDT tidak bertahan lama apabila Bissoli sekali lagi menghukum tuan rumah dengan gol ketiga menerusi sepakan voli untuk memastikan Buriram membawa pulang kelebihan dua gol.

Keputusan itu menyaksikan JDT berdepan tugas getir pada aksi separuh akhir kedua di gelanggang lawan, dengan hanya kemenangan besar mampu menghidupkan peluang mereka untuk mara ke final ACC musim ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN