Derita empat bulan tanpa gaji, Perlis GSA beraksi dengan 8 pemain

Derita empat bulan tanpa gaji, Perlis GSA beraksi dengan 8 pemain

PERLIS GSA FC hanya dapat menurunkan lapan pemain pada aksi Liga A1 Semi Pro menentang Kelantan WTS FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, kelmarin. IHSAN KELANTAN WTS FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemelut tunggakan gaji yang berpanjangan dipercayai menjadi punca Perlis GSA FC terpaksa turun dengan hanya lapan pemain ketika menentang Kelantan WTS FC dalam aksi Liga A1 Semi Pro, kelmarin.

Menurut sumber dipercayai, masalah kewangan yang gagal diselesaikan sejak beberapa bulan lalu telah menjejaskan kepercayaan pemain terhadap pengurusan pasukan dan turut memadamkan motivasi mereka untuk terus beraksi.

“Pemain tiada kerana sudah empat bulan gaji tidak dibayar. Sesi latihan pun tiada sejak Hari Raya lalu, pemain nak makan apa bila gaji tak dibayar,” kata sumber itu.

Situasi tersebut menggambarkan betapa seriusnya krisis yang melanda pasukan berkenaan sehingga menjejaskan komitmen pemain terhadap kelab.

Bagaimanapun, Perlis GSA FC dalam kenyataan rasmi tampil memberikan penjelasan bahawa kekurangan pemain bukan berpunca daripada satu faktor sahaja.

“Beberapa pemain utama sedang mengalami kecederaan serius dan tidak dapat diturunkan. Ada pemain yang sedang menjalani penggantungan perlawanan.

“Beberapa pemain menghadapi komitmen kerja yang tidak dapat dielakkan. Keadaan ini adalah di luar kawalan pihak kelab dan kami memohon maaf kerana tidak dapat menurunkan pasukan yang lengkap,” kata kenyataan itu.

Dalam perkembangan sama, Kelantan WTS FC memaklumkan bahawa perlawanan tersebut tidak dapat diteruskan selepas situasi di atas padang gagal memenuhi syarat minimum pertandingan.

“Pada minit ketujuh, perlawanan telah dihentikan sementara bagi tujuan rawatan kecederaan pemain.

“Selepas penilaian dibuat sehingga minit ke-16, pengadil mengesahkan perlawanan tidak dapat diteruskan berikutan bilangan pemain Perlis GSA FC yang tidak mencukupi,” katanya.

Susulan itu, keputusan rasmi menyaksikan Kelantan WTS FC diberikan kemenangan 3-0 mengikut peraturan pertandingan, sekali gus menambah lagi episod duka buat Perlis GSA FC yang kini berdepan tekanan hebat di dalam dan luar padang.

Isu kekurangan pemain ini dilihat semakin berulang dan boleh menjejaskan imej serta kredibiliti Liga A1 Semi Pro jika tidak ditangani segera.

Peristiwa tersebut bukanlah kali pertama berlaku apabila insiden sama pernah tercetus pada Mac lalu membabitkan Kelantan WTS FC menentang Machan FC di Stadium Sultan Muhammad IV.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN