WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa negaranya memperoleh ‘keuntungan besar’ daripada minyak Venezuela selepas Washington melaksanakan operasi ketenteraan yang menyasarkan bekas Presiden, Nicolas Maduro.
Dalam temu bual dengan Fox News selepas lawatannya ke China, Trump berkata, operasi menggulingkan Maduro pada Januari lalu hanya mengambil masa 48 minit 13 saat.
“Saya membina dalam empat tahun pertama saya tentera paling kuat di dunia yang ditunjukkan di Venezuela,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Venezuela sebagai ‘negara mempunyai tentera yang kuat’, namun operasi itu berlaku dengan sangat pantas.
Trump juga mendakwa, AS membuat keuntungan besar daripada minyak Venezuela, selain menyatakan Caracas memperoleh lebih banyak wang dalam lapan bulan lalu berbanding 10 tahun sebelumnya.
Apabila ditanya mengenai keadaan di Cuba, Trump menjawab, “Saya fikir kita akan mengubahnya.”
Beliau menyifatkan negara pulau itu sebagai ‘negara yang benar-benar gagal’, dan mendakwa mereka akan ‘tunduk’ kepada AS.
Merujuk kepada tawaran bantuan kemanusiaan AS bernilai AS$100 juta yang baru diumumkan untuk Cuba, beliau berkata: “Mereka menerima bantuan itu; mereka mahukan bantuan. Mereka memerlukan pertolongan.”- ANADOLU










