SINGAPURA: Amerika Syarikat (AS) memberi amaran ia ‘lebih daripada mampu’ untuk menyambung semula perang dengan Iran selepas Presiden Donald Trump menegaskan sebarang perjanjian damai mesti mematuhi syarat utama Washington, termasuk memastikan Teheran tidak membangunkan senjata nuklear.
Rumah Putih pada Jumaat memberi isyarat Trump hampir membuat keputusan berhubung perjanjian awal dengan Iran selepas beberapa minggu rundingan yang berlangsung dalam keadaan tidak menentu.
Namun, Teheran menegaskan tiada perjanjian muktamad dicapai setakat ini untuk menamatkan konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada ekonomi global.
Trump mengadakan mesyuarat lebih dua jam bersama pegawai kanan pentadbiran di Bilik Situasi Rumah Putih, namun tidak mengumumkan sebarang keputusan sejurus selepas pertemuan itu berakhir.
Sementara itu, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth berkata, Washington mempunyai keupayaan untuk memulakan semula operasi ketenteraan terhadap Iran jika keadaan memerlukannya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Dialog Shangri-La di Singapura, sidang kemuncak pertahanan yang menghimpunkan pemimpin keselamatan dan pertahanan dari seluruh rantau Asia-Pasifik.
Bagaimanapun, usaha diplomasi masih diteruskan, termasuk melalui proses rundingan selari untuk menamatkan pertempuran di Lubnan yang menurut Iran perlu dimasukkan dalam sebarang perjanjian rasmi bagi mengakhiri perang tersebut.
Perkembangan itu berlaku ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengumumkan tenteranya mara lebih jauh di medan operasi, walaupun delegasi ketenteraan dari kedua-dua negara mengadakan pertemuan di Pentagon, Washington.
Dalam satu hantaran di media sosial yang turut mengumumkan mesyuarat di Bilik Situasi Rumah Putih, Trump berkata, antara keutamaan dalam sebarang perjanjian ialah memastikan Iran tidak pernah membangunkan senjata nuklear serta pembukaan semula Selat Hormuz yang sebelum ini disekat.
“Presiden Trump hanya akan memeterai perjanjian yang baik untuk Amerika dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkannya.
“Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear sama sekali,” kata seorang pegawai Rumah Putih kepada AFP selepas mesyuarat tersebut.- AFP









