AS jual helikopter tentera RM15 bilion kepada Korea Selatan

AS jual helikopter tentera RM15 bilion kepada Korea Selatan

helikopter
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) pada Isnin meluluskan penjualan lebih AS$4 bilion (RM15.8 bilion) helikopter tentera kepada Korea Selatan, yang sebelum ini berikrar untuk membeli lebih banyak senjata AS bagi menghadapi ancaman Korea Utara.

Jabatan Negara AS berkata, ia memberi kelulusan kepada Korea Selatan untuk membelanjakan AS$3 bilion (RM11.9 bilion) bagi 24 helikopter tentera laut ‘Romeo’ Seahawk, yang digunakan untuk mengesan dan memusnahkan kapal selam serta sasaran di darat.

Jabatan itu turut meluluskan penjualan AS$1.2 bilion (RM4.76 bilion) untuk naik taraf helikopter serangan Apache milik Korea Selatan.

Menurut kenyataan Jabatan Negara, penjualan tersebut akan meningkatkan keupayaan Republik Korea dalam menghadapi ancaman semasa dan masa depan serta berfungsi sebagai ‘kekuatan yang boleh dipercayai untuk menghalang musuh’.

Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, sebelum ini berjanji dalam sidang kemuncak bersama Presiden AS, Donald Trump pada November berhubung Seoul akan membeli peralatan ketenteraan AS bernilai AS$25 bilion (RM99 bilion) menjelang 2030 serta membayar AS$33 bilion (RM131 bilion) bagi menyokong tentera Amerika di Korea Selatan.

Trump sebelum ini secara konsisten mendesak sekutu AS supaya meningkatkan perbelanjaan pertahanan serta mempersoalkan keperluan kehadiran tentera AS di luar negara.

Jae Myung, yang dikenali sebagai seorang pemimpin berpendirian sederhana, menyokong usaha dialog tanpa syarat dengan Korea Utara, namun pendekatan itu tidak mendapat tindak balas daripada Pyongyang.

Dalam penggal pertama pemerintahannya, Trump pernah bertemu tiga kali dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, malah pernah menyatakan mereka ‘jatuh cinta’, namun memberi tumpuan yang jauh lebih sedikit terhadap isu Pyongyang dalam penggal terbaharunya.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN