AS disaman isu vaksin eksperimen bayi kulit hitam

AS disaman isu vaksin eksperimen bayi kulit hitam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Keluarga kepada dua bayi kulit hitam yang meninggal dunia pada 1967 selepas diberikan vaksin eksperimen secara rahsia kini menyaman kerajaan Amerika Syarikat (AS) bagi menuntut ganti rugi, menurut kenyataan barisan peguam mereka pada Khamis.

Kedua-dua bayi terbabit, Ross Otto Hambrick dan Victor Marcellus King dijadikan subjek bagi menguji vaksin peringkat awal untuk merawat virus pernafasan sinsitium (RSV). RSV merupakan sejenis virus yang sangat mudah berjangkit dan menjadi punca utama kemasukan bayi ke hospital di AS.

“Siri tuntutan itu mendakwa bahawa sampel tisu yang diambil daripada bedah siasat mereka beberapa dekad lalu telah menyumbang kepada pembangunan vaksin RSV yang akhirnya diluluskan oleh badan kawal selia persekutuan pada 2023.

“Vaksin tersebut kini menjana pendapatan mencecah berbilion dolar,” jelas barisan peguam terbabit dalam satu kenyataan media.

Pihak plaintif mendakwa bayi-bayi berkenaan yang masing-masing berusia dua dan empat bulan ketika itu telah dipilih tanpa pengetahuan mahupun keizinan ibu bapa mereka untuk menguji vaksin eksperimen berkepekatan tinggi yang berbahaya, yang dikenali sebagai ‘Lot 100’.

Kedua-dua bayi lelaki itu dilaporkan meninggal dunia pada Januari 1967.

Siasatan mendapati Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) AS merupakan penaja kepada ujian klinikal vaksin eksperimen RSV tersebut sekitar 1965 dan 1966.

“Tuntutan yang dikemukakan di bawah Akta Tuntutan Tort Persekutuan itu mendakwa bahawa kerajaan AS menerusi NIH telah memilih kumpulan kanak-kanak yang paling rentan iaitu bayi kulit hitam daripada keluarga berpendapatan rendah,” tambah kenyataan itu lagi.

AS mempunyai sejarah hitam yang panjang berhubung pelaksanaan eksperimen perubatan secara rahsia terhadap komuniti kulit hitam. Sebagai contoh pada 1997, Presiden Bill Clinton ketika itu secara rasmi memohon maaf atas Kajian Sifilis Tidak Dirawat Tuskegee yang dijalankan antara 1932 dan 1972.

Dalam kajian tersebut, ratusan lelaki kulit hitam yang menghidap sifilis sengaja dinafikan rawatan sewajarnya walaupun ubat penisilin telah pun tersedia secara meluas pada masa itu.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN