PETALING JAYA: Pengurus skuad sepak takraw negara, Datuk Abu Jimi Samat mengingatkan pemain supaya tidak memandang mudah ancaman Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan B acara regu berpasukan Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 pada malam ini.
Abu Jimi berkata, kemenangan ke atas India pada aksi Kumpulan B acara regu berpasukan Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 belum cukup untuk membuatkan kem sepak takraw negara menarik nafas lega.
Beliau mengakui persembahan keseluruhan pemain semakin menunjukkan peningkatan, namun masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperkemaskan terutama melibatkan servis tekong utama negara, Mohammad Syahir Mohd Rosdi.
Jelasnya, berdasarkan pemerhatian pasukan kejurulatihan, pemain berkenaan masih belum mempamerkan prestasi sebenar walaupun menunjukkan peningkatan ketara berbanding aksi sebelum ini.
“Kalau tengok komposisi regu tadi, secara keseluruhan okey. Cuma Syahir masih belum capai prestasi sebenar dia.
“Servis dia nampak agak berat sedikit. Dalam set kedua tadi ada beberapa kesilapan termasuk servis keluar dan sangkut. Jumlah itu agak tinggi kerana ia beri mata mudah kepada lawan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau percaya masalah itu mampu diperbaiki segera dengan tumpuan khusus diberikan dalam sesi latihan sebelum aksi menentang Myanmar.
Abu Jimi turut memuji aspek kawalan gelanggang serta hantaran pertama pemain yang disifatkannya berada pada tahap memuaskan.
“Tak banyak perkara yang perlu dibetulkan. Insya-Allah pemain akan atasi masalah itu sebelum aksi esok,” katanya.-UTUSAN










