Malaysia belasah India, selangkah ke suku akhir

Malaysia belasah India, selangkah ke suku akhir

MOHAMAD Azlan Alias melakukan rejaman pada aksi pembukaan Kumpulan B acara regu berpasukan di Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara memulakan langkah kanan dalam acara berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 apabila mudah membenam India 3-0 pada aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Titiwangsa, malam ini.

Kemenangan bergaya itu sekali gus meletakkan Malaysia di landasan terbaik untuk mengesahkan slot ke suku akhir, selain meneruskan rentak cemerlang selepas muncul juara acara kuadran semalam.

Regu pertama negara yang dibarisi Haziq Hairul Nizam selaku tekong bersama Zuleffendi Sumari dan Muhammad Noraizat Mohd. Nordin tidak berdepan tentangan sukar apabila menewaskan gandingan India 15-10, 15-10.

Momentum kemenangan itu diteruskan regu kedua yang diwakili Mohammad Syahir Mohd. Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias apabila mempamerkan aksi meyakinkan untuk menundukkan lawan 15-10, 15-12.

Tidak cukup dengan itu, regu ketiga negara yang dibarisi Zulkifli Abd. Razak, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Afifuddin Mohd. Razali serta kemasukan Hafizul Hayazi Adnan di set kedua tampil lebih garang apabila langsung tidak memberi ruang kepada India sebelum menang mudah 15-3, 15-5.

Kejayaan menyapu bersih tiga regu membuktikan kekuatan sebenar skuad negara yang kini semakin hampir mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir.

Malaysia dijadualkan berdepan cabaran lebih getir apabila turun menentang Myanmar dalam aksi kedua kumpulan pada pukul 8 malam esok. – UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN