PETALING JAYA: Kejayaan pasukan sepak takraw Malaysia mencipta sejarah menjuarai Piala Dunia Sepak Takraw 2026 buat pertama kali selepas menewaskan seteru tradisi, Thailand 2-1 di Stadium Titiwangsa disifatkan sebagai hadiah bermakna buat seluruh rakyat Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan tersebut bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah membuktikan semangat juang, disiplin dan kesatuan mampu membawa Malaysia ke persada dunia.
“Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan arena sukan tanah air, malah membuktikan semangat juang, disiplin dan kesatuan yang tinggi mampu mengangkat Malaysia ke persada dunia.
“Ini adalah hadiah bermakna buat seluruh rakyat Malaysia serta bukti bahawa anak watan memiliki keupayaan, ketahanan dan semangat luar biasa apabila membawa cabaran negara,” katanya di Facebook hari ini.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada barisan pemain, jurulatih dan semua pihak yang terlibat dalam kejayaan bersejarah itu serta berharap momentum kecemerlangan tersebut dapat diteruskan pada kejohanan akan datang.
“Syabas wira negara, teruskan melakar kecemerlangan demi Malaysia tercinta,” katanya. – UTUSAN










