JALALABAD: Sekurang-kurangnya 18 orang maut termasuk 10 kanak-kanak selepas sebuah trak terbalik di timur Afghanistan hari ini, kata seorang pegawai wilayah kepada AFP.
Kemalangan jalan raya yang meragut banyak nyawa sering berlaku di Afghanistan, sebahagiannya disebabkan keadaan jalan yang daif selepas berdekad-dekad konflik, pemanduan berbahaya serta kekurangan penguatkuasaan peraturan keselamatan.
Menurut jurucakap Gabenor Wilayah Laghman, Abdul Malik Niazay, kenderaan itu membawa keluarga warga Afghanistan yang sedang pulang dari Pakistan, tempat mereka menetap sebelum ini.
“Seramai 18 orang maut, termasuk 10 kanak-kanak, lima wanita dan tiga lelaki. Selain itu, 29 lagi cedera,” katanya.
Kemalangan berlaku di jalan raya yang menghubungkan Jalalabad di timur Afghanistan dengan ibu negara, Kabul.
Pakistan sejak kebelakangan ini memperketatkan tindakan terhadap pendatang dan pelarian Afghanistan yang berada di negara itu, sekali gus mencetuskan gelombang kepulangan yang sering melibatkan keluarga, membawa bersama barangan mereka menggunakan trak.
Menurut data daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian dan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi, seramai 447,400 rakyat Afghanistan pulang dari Pakistan sejak awal tahun ini.
Ogos tahun lalu, satu perlanggaran melibatkan sebuah bas membawa pendatang Afghanistan yang pulang dari Iran dengan dua kenderaan lain di barat Afghanistan mengorbankan 78 orang, termasuk 19 kanak-kanak.- AFP










