17 individu telah jalani perintah khidmat masyarakat di Melaka - Utusan Malaysia

17 individu telah jalani perintah khidmat masyarakat di Melaka

RAIS Yasin menunjukkan poster larangan pembuangan sampah kecil di tempat awam pada program kitar semula Anda Kitar Kami Bayar sempena sambutan Ulang Tahun Ke-23 Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Dataran MBMB, Melaka hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 17 individu telah menjalani hukuman perintah khidmat masyarakat atas kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam termasuk puntung rokok sejak penguatkuasaan undang-undang mengenainya dilaksanakan sejak 1 Januari lalu.

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, sehingga kini sebanyak 589 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) telah dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT)  dengan 39 kes sedang dalam proses mahkamah.

“Kita tidak mahu rakyat negeri ini atau pelancong yang datang ke Melaka dikenakan tindakan undang-undang hanya kerana sikap tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata. Perokok sepatutnya tahu kawasan dibenarkan untuk merokok dan di mana puntung rokok perlu dibuang dengan betul,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri program kitar semula Anda Kitar Kami Bayar sempena sambutan Ulang Tahun Ke-23 Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Dataran MBMB, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rais berkata, program kitar semula tersebut berjaya mengumpulkan pelbagai bahan buangan termasuk 2.5 tan minyak masak terpakai yang membawa pulangan kira-kira RM8,000 kepada peserta.

Katanya, harga belian minyak masak terpakai juga meningkat daripada RM3 sekilogram (kg) tahun lalu kepada RM3.20 kg  tahun ini.

Menurutnya, sebanyak 453 kilogram e-waste, 420 kilogram fabrik, 110 kilogram botol kaca dan tetrapak serta 16 kilogram sisa makanan turut berjaya dikumpulkan.

“Program ini bukan sahaja memberi manfaat kewangan kepada rakyat, malah membantu mengurangkan pencemaran dan kos pengurusan sisa pepejal. Setakat ini, kita telah mencapai pengurangan karbon dioksida bersamaan 1.1 juta kilogram atau kira-kira lebih 50,000 batang pokok berjaya diselamatkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN